IKIM MENGALU-ALUKAN RESOLUSI PBB, GESA PENGUNDURAN ISRAEL

KUALA LUMPUR, 19 September (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengalu-alukan penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menggesa Israel berundur ke sempadan sebelum 1967. 

Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM dalam satu kenyataan berkata, resolusi ini sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan menyokong Ketetapan Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini pada 19 Julai 2024, yang mengesahkan larangan sejagat terhadap pemerolehan wilayah secara paksa.

“Walaupun ini merupakan langkah penting ke arah keadilan, IKIM mengesyorkan semua pihak untuk meneruskan tindakan berani bercakap benar kepada kuasa zalim tersebut, dan secara bijak melancarkan penentangan positif yang berasaskan ilmu terhadap tindakan-tindakan zalim yang berterusan rejim Zionis,” tambah beliau. 

IKIM menggesa masyarakat Islam antarabangsa bersama bangsa-bangsa lain yang prihatin untuk memastikan resolusi ini membawa kepada tindakan yang berkesan dan tidak menjadi simbolik semata-mata. 

Masyarakat dunia sebagai keturunan Bani Adam mesti kekal bersatu dalam memastikan Israel bertanggungjawab dan menguatkuasakan keputusan penting ini.

Kami juga memuji pendirian kukuh yang diambil oleh negara-negara OIC, termasuk Malaysia, dalam mengundi menyokong resolusi itu. 

Pendirian kukuh itu mencerminkan komitmen berterusan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia untuk menangani kezaliman terhadap rakyat Palestin. Aspirasi kita untuk menjadi sebuah negara yang bertamadun mestilah termasuk membantu pihak yang memerlukan sokongan kita, walaupun di negara yang jauh.

Sokongan ini mengisyaratkan komitmen kita bersama untuk menegakkan keadilan dan membina dunia antarabangsa yang lebih tertib demi masa depan bersama umat manusia.

Scroll to Top