31 SAHABAT KORPORAT TH SUMBANG RM4.8 JUTA KEPADA JEMAAH HAJI MALAYSIA 1445H/2024M

KUALA LUMPUR, 19 September (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menerima sumbangan bernilai RM 4.8 juta daripada 31 syarikat korporat melalui program Sahabat Koporat TH bagi membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia.

YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata salah satu faktor kejayaan TH pada setiap musim haji adalah atas hasil komitmen serta keprihatinan yang berterusan daripada Sahabat Korporat TH yang jelas membantu memudahkan urusan Jemaah Haji Malaysia ketika di Makkah dan Madinah.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kerajaan Arab Saudi dan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia atas kerjasama dalam urusan visa, pelaksanaan Makkah Route dan perkhidmatan yang disediakan sepanjang operasi Masyair” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim Haji 1445H/2024M dan Penghargaan Sahabat Korporat 2024 di Menara Tabung Haji, hari ini. 

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua 57 buah agensi-agensi kerajaan dan swasta serta rakan-rakan media yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan operasi Musim Haji 1445H.

Antara sumbangan yang diterima daripada Sahabat Korporat TH adalah wang tunai dan barang keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku-buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian bagi memudahkan urusan para jemaah sepanjang mengerjakan haji di Tanah Suci.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan agar lebih banyak badan-badan korporat untuk tampil memberikan sokongan dengan menyertai program ini pada musim-musim haji akan datang demi untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan para jemaah menunaikan ibadah haji.

Scroll to Top