Saidina Uthman ibn Affan (Bhgn 2)

SAIDINA Uthman ketika hayat Baginda SAW mempunyai sumbangan yang sangat besar. Keislaman Saidina Uthman Ibn Affan merupakan satu nikmat besar buat Islam serta seluruh kaum Muslimin. Tidak ada seorang muslim pun yang menghadapi masalah kecuali Uthman seorang yang boleh merungkaikan masalahnya. Apabila berlaku sesuatu musibah dan tentangan yang menimpa Islam dan kaum muslimin, Uthman bin Affan merupakan orang yang akan tampil mengeluarkan Islam dan kaum muslimin daripada situasi yang menyukarkan itu. Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany berkongsi kisah mengenai Saidina Uthman ibn Affan.

Pernah Rasulullah SAW ketika Baginda berazam untuk menggerakkan satu angkatan untuk peperangan Tabuk. Peperangan Tabuk berlaku setelah utusan Baginda Nabi SAW telah dibunuh yang pada ketika itu, menurut undang-undang antarabangsa bahawa seorang utusan tidak boleh dibunuh. Maka Baginda Nabi SAW telah berazam untuk memerangi Rom. Baginda yang saat itu ingin menggerakkan satu angkatan, namun keperluan kepada harta sangat-sangat memerlukan sepertimana keperluan mendesak kepada angkatan tentera. Angkatan tentera Rom begitu ramai angkatannya serta banyak persiapannya. Bahkan mereka juga akan berperang di tempat mereka sendiri. Namun bagi orang muslimin, perjalan mereka sangat jauh dan keperluan mereka sangat sedikit. Haiwan-haiwan tunggangan mereka terlalu sedikit. Kaum muslimin juga telah melalui musim kering yang menyebabkan kurangnya bekalan makanan mereka. Baginda SAW terpaksa menolak beberapa orang yang datang menyatakan hasratnya menyertai angkatan tentera tersebut kerana mereka tidak mempunyai tunggangan mahupun bekalan makanan untuk dibawa. Maka kembalilah beberapa orang itu dengan berlinangan airmata kerana tidak dapat berjuang bersama-sama Baginda Nabi SAW.

Dalam keadaan yang sukar itu, Baginda Nabi SAW telah naik ke mimbar dan memuji Allah SWT. Kemudian, seluruh kaum muslimin berkumpul kepada Baginda SAW lantas Baginda menggalakkan mereka menderma harta mereka pada jalan Allah SWT. Baginda juga menjanjikan dengan janji-janji yang besar akan dibalas oleh Allah SWT. Pada ketika itu, berdirilah Saidina Uthman r.a. lantas berkata “Ya Rasulallah, saya janji untuk saya berikan 100 ekor unta bersama kelengkapannya dan pelana-pelananya.” Baginda Nabi SAW kemudiannya turun ke satu anak tangga sesudah Saidina Uthman berkata demikian. Namun Baginda SAW masih belum berpuas hati sambil menyemarkkan semangat kepada kaum muslimin untuk menginfakkan harta ke jalan Allah SWT. Saat itu, sekali lagi bangun Saidina Uthman untuk kali kedua lalu berkata “YA Rasulallah, akan ku berikan lagi 100 ekor unta dengan kelengkapannya dan pelana-pelananya.” Maka ketika itu, terpancarlah seri pada wajah Baginda SAW. Baginda amat gembira dengan apa yang dijanjikan oleh Saidina Uthman. Baginda kemudian turun satu anak tangga lagi dan berhenti sambil menyemarakkan kaum muslimin untuk berinfak. Saat Baginda bersungguh-sungguh itu, sekali lagi bangun Saidina Uthman ibn Affan lantas berkata “Saya berikan lagi 100 ekor unta bersama-sama seluruh kelengkapannya dan pelana-pelananya wahai Rasulullah.” Pada saat itu Rasulullah SAW sangat gembira. Baginda menunjukkan tangan Baginda ke arah Saidina Uthman. Baginda redha dengan apa yang dilakukan oleh Saidina Uthman lantas berkata “Uthman, apa juga yang dia buat sesudah ini tidak akan memudaratkan akhiratnya.” Baginda kemudian mengulangi perkataannya itu.

Baginda Nabi SAW kemudian turun daripada mimbar dan saat itu juga Saidina Uthman kembali ke rumahnya serta diutuskan kepada Baginda SAW akan unta-unta yang dijanjikannya itu. 300 ekor kesemuanya. Beliau juga memberikan seribu dinar emas kepada Baginda SAW. Tatkala diletakkan wang-wang dinar itu di ribaan Baginda SAW, maka gembiralah Baginda. Baginda kemudian membolak-balikkan tangan Saidina Uthman sambil berkata “moga-moga Allah SWT mengampunkan engkau wahai Uthman. Apa yang telah engkau sembunyikan dan apa yang telah engkau zahirkan daripada kesalahan-kesalahanmu serta daripada kesalahan-kesalahanmu yang lalu dan yang akan datang.” Ini diantara kegembiraan buat Saidina Uthman ditambah pula dengan kata Baginda “keampunan daripada Allah SWT sehingga hari kiamat.” Itulah doa yang berpanjangan daripada Rasulullah SAW kepada orang yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT.

Semoga kisah Saidina Uthman ini dapat menjadi pengajaran buat kita betapa pentingnya untuk kita menjadi antara orang yang menginfakkan sebahagian daripada harta kita ke jalan Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Februari 2018
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top