Adab Berselisih Pendapat

ALLAH SWT menyebut di dalam al-Quran menerusi surah al Imran, ayat 103 yang bermaksud “Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Rabu jam 10 pagi, al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkata di dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan tentang kedatangan nikmat Islam adalah bertujuan untuk mewujudkan kesatuan diantara umat Nabi Muhammad SAW yang mengakui ketauhidan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulnya menerusi kalimah syahadah yang dilafazkan. Dengan datangnya ajaran agama Islam dalam kehidupan masyarakat pada zaman jahiliah yang hidup dalam kejahilan, hidup secara berkabilah dan hanya percaya kepada kabilah dan kelompok mereka sahaja tanpa ada perasaan penerimaan pada kaum yang lain telah mengubah cara hidup mereka dengan lebih tersusun. Lantaran dari itu, kehadiran agama Islam telah mengikat perhubungan masyarakat ke arah sebuah penyatuan.

Namun demikian, perbezaan atau perselisihan tetap juga berlaku kepada manusia. Sungguhpun sesama di kalangan mukmin, pandangan yang berbeza atau cara pemahaman terhadap sesuatu hal itu tetap tidak akan sama sungguhpun ada persamaan dari segi beragama. Perkara ini juga disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Hud ayat 118 yang bermaksud “Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad SAW) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu.

Perpecahan di kalangan umat Nabi Muhammad SAW juga berlaku sebagaimana yang disebut dalam hadis riwayat Abu Hurairah yang menyatakan Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Sesungguhnya orang-orang Yahudi itu telah berpecah kepada 71 kelompok, Sementara orang-orang Nasrani pula telah berpecah kepada 72 kelompok dan umat Nabi Muhammad SAW pula berpecah kepada 73 kelompok. (HR Abu Dawud). Dari perpecahan tersebut hanya satu golongan yang masuk syurga. Golongan yang selamat adalah mereka yang secara aqidah dengan amalan- amalan mengikuti Rasulullah SAW dan para sahabat. Sedang golongan yang masuk neraka adalah yang menyimpang dari jalan tersebut.

Justeru, umat Nabi Muhammad akan berdepan dengan pelbagai polemik, perbezaan dan perselisihan pendapat dan pandangan, maka pada saat itu penting bagi seseorang mukmin memahami dan menguasai adab dengan mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan ilmu-ilmu yang disusun oleh para ulama dan sahabat dalam berdepan cabaran menghadapi perbezaan.

Hakikatnya perselisihan yang berlaku sehingga dirakam dan disebut di dalam al-Quran adalah kerana Allah SWT menciptakan manusia dengan pelbagai cabaran dan ujian kerana mahu melihat siapakah di antara manusia ini yang layak menduduki syurga Allah taala. Di kalangan mukmin itu pasti ada yang layak dan tidak layak mendapat rahmat Allah taala. Justeru mukmin yang mampu bertahan dan tidak mengikut hawa nafsu amarah atau tidak meruntuhkan silaturahim pastinya layak untuk menerima rahmat dan menghuni syurga Allah.

Oleh itu dalam berdepan dengan pelbagai perselisihan sesama mukmin, perlulah ada adab yang perlu dituruti agar setiap perselisihan itu tidak membawa kepada sebarang bencana, perpecahan atau sehingga membawa kepada pembunuhan. Adab dalam berdepan dengan perbezaan pendapat dan pandangan mestilah terlebih dahulu meletakkan keutamaan kehendak Allah dan Rasulnya dan disusuli dengan aturan yang disusun oleh sahabat dan para alim ulama.

Perbezaan itu tidak salah, tetapi ia akan menjadi salah jika kerana perbezaan dan perselisihan membawa kepada kemusnahan sehingga memecahbelahkan umat Islam dan menghancurkan kesatuan agama Islam itu sendiri. Perbezaan yang berlaku sesama mukmin biarlah ia akhirnya membawa kepada kesepakatan dan kekuatan kepada ummah dan agama Islam. Janganlah kerana perbezaan pandangan itu membawa kita kepada pertelingkahan dan permusuhan. Dalam hal ini juga As-Syahid Imam Hasan al-Banna pernah berpesan: “Kami bekerjasama dalam hal-hal yang kami sepakati, tetapi kami saling berlapang dada dan bermaafan dalam hal yang kami berselisih pendapat”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Januari 2018
Scroll to Top