DALAM sebuah hadith, Baginda SAW pernah bersabda yang mafhumnya : “Aku melihat Jaafar berada di syurga. Dia memiliki dua pasang sayap yang berlumuran darah. Sayap tersebut berbulu dengan kemilau cahaya”. Baginda telah ditunjukkan dengan kedudukan Jaafar di dalam syurga Allah SWT.
Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin jam 5.15 petang, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany berkongsi mengenai kisah Saidina Jaafar bin Abi Talib.
Dalam kalangan Bani Abdul Manaf, terdapat lima orang yang amat mirip dengan Rasulullah SAW. Lima orang tersebut daripada kalangan keluarga Baginda daripada Bani Abdul Manaf. Mereka adalah Abu Sufyan bin Al-Harith, sepupu dan saudara susuan Baginda SAW, Al-Fadhlu bin Al-Abbas bin Abdul Mutallib, juga sepupu Baginda SAW, As-Saaib bin Ubaid bin Abdi Yazid bin Hashim, Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib, cucu Baginda SAW dan juga Jaafar bin Abi Talib, saudara kepada Amirul Mukminin, Saidina Ali bin Abi Talib dan sepupu kepada Baginda SAW.
Sekalipun Abi Talib merupakan orang yang dipandang mulia dalam kalangan bangsanya, namun beliau merupakan orang yang sangat sederhana dalam hidupnya dan kadangkala menghadapi kesulitan dalam kehidupan. Keadaan tersebut bertambah sulit dengan datangnya musim kemarau yang pada ketika itu, bangsa Arab Quraisy tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup dan haiwan ternakan tidak dapat mengeluarkan susu yang banyak. Di kalangan Bani Hashim pada ketika itu, tidak ada seorangpun yang mempunyai keluasan dan kelapangan hidup kecuali Baginda Rasulullah SAW dan bapa saudaranya, Al-Abbas. Lantas Baginda berkata kepada Al-Abbas “Wahai bapa saudaraku, sesungguhnya saudaramu Abu Talib ramai keluarganya. Marilah kita ke rumahnya untuk menanggung sebahagian keluarganya. Aku akan menanggung seorang anaknya dan engkau pun akan menanggung seorang lagi daripada anaknya”.
Setelah keduanya bersetuju mencukupkan kehidupan dua orang putera Abi Talib tersebut, Al-Abbas kemudian berkata “Engkau telah mengajak kepada kebaikan”. Lalu mereka berdua berangkat bertemu dengan Abi Talib. Meraka tiba di rumah Abi Talib dan menyatakan hasrat untuk meringankan beban Abi Talib, lantas Abi Talib berkata “Kalian boleh mngambil sesiapa sahaja daripada ahli keluargaku, selain daripada ‘Aaqil, anak sulungku”. Baginda SAW mengambik Saidina Ali dan menjadikan Ali sebagai sebahagian daripada ahli keluarga Baginda. Manakala Al-Abbas pula mengambil Jaafar bin Abi Talib.
Saidina Ali terus tinggal bersama Rasulullah SAW sehinggalah Baginda diutus sebagai seorang nabi, Ali merupakan orang pertama yang memeluk Islam daripada kalangan pemuda. Manakala Jaafar pula kekal dengan bimbingan Al-Abbas sehingga beliau membesar dewasa memeluk agama Islam dan hidup dengan penuh kesenangan bersama Al-Abbas. Jaafar bin Abi Talib berserta isterinya, Asma’ binti Umais telah bergabung dengan rombongan kaum Muslimin dalam perjalanan pertama mereka untuk berhijrah pada jalan Allah SWT. Mereka berdua memeluk Islam berkat ajakan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebelum Rasulullah masuk ke rumah Arqam bin Abi Al-Arqam. Pemuda daripada Bani Hashim ini bersama isterinya telah merasa bagaimana peritnya seksaan dan tekanan yang dilakukan oleh orang Quraisy. Segala tekanan dan ujian sanggup mereka hadapi kecuali mereka tidak sanggup apabila Quraisy menyekat mereka beribadah kepada Allah SWT.
Sesudah mendapat keizinan daripada Rasulullah SAW untuk berhijrah, salah seorang daripada mereka ialah Jaafar bin Abi Talib. Mereka tinggal di sana dengan jaminan keamanan daripada Raja Najjasyi merupakan pemimpin Habsyah. Akhirnya pertama kali mereka merasakan aman sejak mereka memeluk Islam dan mereka nikmat ibadah tanpa ada yang mengganggu urusan ibadah mereka. Namun orang Quraisy yang mengetahui keadaan ini merancang untuk mengahalang mereka dan mengembalikan mereka ke Kota Makkah. Maka pada ketika itu, berlakulah satu kisah yang disebutkan oleh Ummu Salamah.
Ummu Salamah bercerita bahawa datang dua orang utusan daripada kaum Quraisy Amru bin al-Aas dan Abdullah bin Abi Rabi’ah untuk memujuk Raja Najjasyi bagi mengarahkan kaum Muslimin yang berhijrah agar pulang dan kembali kepada agama lama mereka. Mereka berdua telah memperdaya pemuka agama di Habsyah agar membenarkan mereka berjumpa Raja Najjasyi dan akhirnya menceritakan kepada raja Najjasyi mengenai kehadiran kaum Muslimin yang disebut oleh mereka orang-orang yang kurang akal yang telah keluar daripada agama lama dan menganut agama baharu yang tidak diketahui. Mendengarkan perkara itu yang turut diakui oleh pemuka agama yang telah disogok oleh harta yang dibawa utusan Quraisy itu, Raja Najjasyi tidak berpuas hati dan mengarah agar mereka dipanggil untuk memberikan penjelasan.
Kemudian dipanggilnya mereka dan ditanya menganai perkara itu. Tampil Saidina Jaafar bin Abi Talib menjawab persoalan Raja Najjasyi mengenai agama yang mereka anuti. Saidina Jaafar bercerita mengenai kebaikan agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Beliau turut menceritakan mengenai segala suruhan yang diperintahkan dan perkara-perkara larangan yang perlu ditinggalkan. Jaafar juga menceritakan bahawa kaum Quraisy juga telah berlaku kasar kepada mereka dan mengganggu mereka dalam beribadah.
Jaafar kemudian berkata lagi “mereka menyeksa kami dengan teruk agar kami dapat kembali kepada agama mereka. Ketika mereka semakin kuat menganiaya kami, maka kami dengan rela hati telah keluar daripada tanah air kami menuju ke negeri mu ini wahai Raja Najjasyi. Kami mengharapkan perlindunganmu”.
Kemudian Raja Najjasyi meminta agar dibacakan wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Baginda. Saidina Jaafar kemudian membacakan ayat-ayat yang boleh menyentuh hati Raja Najjasyi iaitu ayat berkenaan Siti Maryam dan Nabi Isa. Pada ketika ayat mengenai fitnah Siti Maryam dibacakan, maka menangislah Raja Najjasyi mendengarkan ayat itu. Kemudian Raja Najjasyi berkata “Apa yang dibawa oleh Nabi kalian dan apa yang dibawa oleh Isa Ibnu Maryam adalah berasal dari sumber cahaya yang sama, daripada Allah SWT”. Kemudian baginda menoleh ke arah dua orang utusan tersebut lalu mengusir mereka berdua.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Mei 2017