Perkahwinan Dituntut Islam

PERKAHWINAN merupakan sesuatu yang mulia di dalam Islam. Malahan ianya sangat dituntut sehinggakan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sendiri menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengikut sunnahku maka bukanlah ia daripada umatku. Sunnah ini termasuklah perkahwinan. Namun begitu, langit tidak semestinya cerah sentiasa. Ada perkahwinan yang berakhir dengan perceraian disebabkan oleh pelbagai punca. Antaranya ialah pasangan yang tidak sekufu. Oleh sebab itulah, bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku berterusan, Islam amat menitikberatkan pemilihan pasangan yang baik, sekufu dari segi penghayatan agama.

Justeru ,menurut Ustaz Muhammad Abdullah al- Amin dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm adalah penting setiap pasangan memahami tentang konsep sekufu dalam Islam sebelum  berhasrat mendirikan rumah tangga. Hakikatnya sekufu  memainkan peranan yang besar dalam hubungan suami isteri. Dalam perkahwinan, ada pasangan yang memilki persamaan antara satu sama lain misalnya dari segi cara berfikir dan hobi. Bagaiamanapun, wujud  juga pasangan yang memiliki perbezaan dalam beberapa perkara yang dilakukan.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: \”Seorang wanita itu dinikahi boleh kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.\” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Biarpun hadis  tersebut menyebut tentang kriteria memilih calon isteri namun ia juga relevan dan berkait rapat dengan kriteria calon suami. Perlu difahami maksud \’kerana agamanya\’. Ia bukan bermaksud calon itu perlu mempunyai kelayakan atau sijil pendidikan tinggi dalam bidang agama tetapi bermaksud lelaki atau perempuan yang melaksanakan tuntutan agama Islam.  

Konsep sekufu yang dijalankan dalam perkahwinan Islam bukanlah menjadi satu kesalahan malah ia menjadi petunjuk kepada pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Ia sangatlah digalakkan kepada pasangan yang akan berkahwin untuk meneliti latar belakang  pasangan masing-masing secara terperinci. Kebiasannya, sekufu ini hanya tertumpu kepada paras rupa atau status sosial tetapi sebenarnya ia merangkumi semua aspek. Dalam erti kata lain, sekufu ini adalah seperti berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di antara calon pasangan suami isteri. Justeru, ciri-ciri jodoh yang ideal antara pasangan yang bakal mendirikan masjid hendaklah tidak mempunyai jurang perbezaan yang jauh dari segi status sosial kerana akan melahirkan kerelaan dan saling hormat   menghormati serta membuktikan cinta kasih dan setia dalam membian hidup  berkeluarga pada masa hadapan. Jurang perbezaan yang jauh akan melahirkan rasa rendah diri dari sebelah pihak dan melahirkan rasa bangga di sebelah  pihak yang lain. Oleh yang demikian, sebahagian para ulamak mensyariatkan supaya calon suami dan isteri hendaklah sekufu.

Selain itu, Muhammad turut menyarankan  ibu bapa untuk sentiasa melatih dan  mendidik  anak-anak mereka tentang kepentingan memberi khidmat kepada ahli keluarga .Dalam konteks ini, . Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian. Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak Di samping itu, sebagai anak,  hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Di dalam al-Quran, Allah SWT dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa, di mana Allah SWT menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut, seperti firman-Nya yang bermaksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan \”Ha\”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).(Surah Al-Isra’, ayat 23)

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Mei 2017
Scroll to Top