Saat Diri Diuji (Bahagian 3)

KEHIDUPAN manusia di dunia ini umpama hidup di dalam dewan peperiksaan bagi menghadapi soalan-soalan yang perlu dijawab. Namun jika kita gagal dalam peperiksaan tersebut ia bukanlah salah soalan itu tetapi kerana salah jawapan yang kita berikan. Antara soalan dan ujian yang kita umpamakan dalam hidup ini ialah kegagalan, kesakitan, kesedihan, perpisahan, kematian dan sebagainya. Orang-orang yang beriman juga tidak terkecuali untuk mendapat ujian dari Allah SWT malah ianya lebih mencabar dan mempunyai dugaan yang sangat hebat untuk ditempuhi seperti yang berlaku pada para Rasul dan Nabi. Sesungguhnya ujian itulah merupakan anugerah dari Allah SWT dalam membentuk peribadi dan meletakkan darjat manusia di tempat yang mulia disisi Allah SWT. Oleh yang demikian, perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di IKIMfm pada hari rabu jam 10:15 pagi yang lalu masih membicarakan topik ‘Bila Diri Diuji (Bahagian 3)’.

Berdasarkan surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. Mesej utama yang disampaikan dalam ayat tersebut bermaksud Allah SWT mendatangkan ujian adalah untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya. Walaubagaimanapun, disetiap ujian itu sememangnya terkandung hikmah yang memberi kebaikan kepada kita.

Sebagai manusia yang menjadi hamba dan khalifah di muka bumi, Yakin dan percayalah bahawa Allah SWT maha baik sehingga ujian yang diberikan terhadap kita bukanlah untuk disia-siakan begitu sahaja. Allah SWT memberi kaedah panduan dan membantu kita bagi menempuh ujian tersebut dengan menyediakan rujukan dari Al-Quran, Hadis dan contoh-contoh tauladan dari Rasulullah SAW. Yang lebih istimewa, Allah SWT maha baik kerana Dia tidak akan memberi ujian diluar kemampuan kita untuk ditempuhi. Oleh itu, bersangka baiklah kepada Allah SWT kerana disebalik kepahitan ujian itu ada kebaikan. Walaupun manusia tidak dapat mentafsirkan hikmah disebalik ujian itu, Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik kepada hambanya dan tidak melepaskan sifat kasih sayangnya kepada kita serta adil dalam ketentuan-Nya.

Selain daripada bersangka baik kepada Allah SWT, ujian dan dugaan yang didatangkan kepada kita itu perlu ditempuhi dengan bermuhasabah diri, bertaubat dengan sesungguhnya serta mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Sebagai hamba yang lemah dan penuh kekurangan, kita perlu bertaubat dari dosa-dosa yang mungkin berkaitan dengan Allah SWT atau sesama manusia. Sifat-sifat mazmumah atau dosa yang terdapat didalam diri mestilah dihapuskan dengan memohon maaf sesama manusia. Berhentilah dari melakukan dosa dan kesalahan serta menyesallah dari melakukan perkara tersebut termasuk berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Perkasakan ibadah wajib dan tingkatkan ibadah sunat samada solat mahupun sedekah kita. Ibadah-ibadah tersebut perlulah dimantapkan serta seimbang menerusi ibadah yang berbentuk ‘Hablun Minannas’ mahupun ‘Hablun Minallah’. Dalil yang menunjukkan bahawa perlunya taubat dari dosa-dosa yang kita lakukan itu adalah dari surah An-Nisa ayat 79 yang bermaksud, “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri”. Pengajaran dari ayat tersebut memberi keyakinan bahawa kita mempunyai dosa yang perlu ditebus dengan taubat kepada Allah SWT serta janganlah kita menyalahkan orang lain.

Taubat yang dilaksanakan akan membawa sebuah pengertian untuk kita lebih dekat bersama Allah SWT. Sekiranya ujian yang didatangkan oleh Allah SWT itu hadir untuk menguji kita maka pada Dia juga mempunyai penyelesaian. Oleh itu, dekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengerjakan ibadah-ibadah utama seperti solat termasuklah bergaul bersama orang-orang yang soleh. Bersihkan diri dengan sifat-sifat mahmudah serta jauhi dari perkara buruk yang tidak membawa apa-apa keberkatan hidup. Ujian dan dugaan yang diberikan terhadap kita hendaklah diterima dengan hati yang terbuka serta tidak menjauhkan diri daripada Allah SWT. Penuhi rumah-rumah Allah SWT seperti masjid dan surau dengan aktiviti ibadah dan banyakkan berdoa kepada Allah SWT.

Dalam mengharungi ujian kita perlu melaluinya dengan memperkasakan ibadah wajib seperti solat kerana ianya merupakan sebuah ibadah yang paling sempurna. Setiap bacaan yang dilaksanakan dalam ibadah solat itu merupakan doa dan zikir yang paling berkesan untuk manfaat diri kita. Selain itu perbanyakkanlah selawat dan istighfar untuk terus kita memperbaharui etika keimanan diri. Kesinambungan terhadap ujian yang diberikan oleh Allah SWT dengan perlaksanaan ibadah, taubat serta amalan berdoa merupakan rencah utama dalam menjadikan diri kita bersih daripada kesalahan dan dosa-dosa. Oleh itu, beringatlah selalu bahawa kepedihan dalam menghadapi ujian bergantung kepada kondisi hati dan kekuatan iman tetapi bukannya kerana beratnya ujian itu. Semoga dengan amalan baik yang kita laksanakan akan membawa pertolongan Allah SWT untuk membantu kita menghadapi ujian secara tidak langsung dapat meningkatkan darjat kita disisi-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 November 2016
Scroll to Top