SEBUAH perkahwinan bermula dengan ikatan janji setia yang terbina di atas beberapa teras. Antara yang utamanya adalah soal kepercayaan. Mustahil untuk kita bayangkan sebuah rumahtangga yang dibina tanpa ada rasa percaya di antara suami dan isteri berkaitan ketelusan, kejujuran dan keikhlsan masing-masing.
Dalam usaha mewujudkan kesefahaman dan rasa percaya, pasangan suami isteri disaran agar mengambil sikap bekerjasama dan tolak ansur ketika melayari hubungan rumah tangga. Namun begitu bukan mudah untuk membina kepercayaan dalam sebuah hubungan. Apatah lagi melahirkan kepercayaan kepada insan yang selama ini disayangi atas faktor luaran pasangan mahupun faktor kesangsian yang sentiasa memainkan peranan memburukkan keadaan.Oleh itu, tidak hairanlah masih ada pasangan yang belum saling percaya-mempercayai meskipun sudah lama mengenali antara satu sama lain.
Dalam rancangan Pesona D’Zahra yang disiarkan pada Isnin lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al – Amin berkata terdapat dua dasar apabila seseorang itu diberikan kepercayaan. Pertama, perlu memiliki sistem kepercayaan dalam diri. Setiap tindakan dan kejayaan kita adalah berpunca dan bermula dari kepercayaan serta keyakinan. Konsep percaya adalah satu konsep hidup yang amat positif. Kuasa positif inilah yang bakal mendorong seseorang merancang, bertindak dan berusaha. Percaya kepada diri sendiri adalah kuasa atau tenaga yang akan menggerakkan seseorang itu untuk mengorak langkah dan melaksanakan aktiviti –aktiviti yang akan menghsilkan kejayaan.Namun begitu ,kepercayaan itu sendiri bukanlah satu kuasa yang mutlak yang boleh menjamin terlaksana cita-cita dan matlamat seseorang. Kuasa mutlak yang sebenarnya terletak pada Allah SWT yang Maha Esa.
Kejayaan merupakan anugerah yang tidak ternilai diberikan oleh Allah SWT. Hakikat kejayaan adalah apabila beriman hanya pada Allah dan Rasul tanpa ragu-ragu sedikit pun terhadap risalah Allah yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Ini dibuktikan melalui pengorbanan harta, tenaga, masa, bahkan jiwa dan raga sekalipun. Keimanan yang bukan hanya ucapan di bibir sahaja tetapi terbukti dengan tindakan. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: \”Katakanlah tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyak yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang yang berakal agar kamu mendapat kejayaan.\” (Surah Al- Maidah: ayat 100)
Sesungguhnya, Islam adalah agama yang syumul, dan agama yang lengkap meliputi setiap aspek kehidupan seseorang hamba. Buktinya, hasil daripada usaha memantapkan kepercayaan dan keimanan yang utuh dalam diri terhadap Allah SWT, akan lahirlah individu yang memperolehi kejayaan. Adakalanya, kejayaan yang diberikan secara langsung oleh Allah SWT walaupun sedikit memberi tuah kepadanya. Dan adakalanya juga kejayaan tidak diberikan secara berterusan kepada hamba-Nya. Bagi yang meraih kejayaan demi kejayaan, berteima kasihlah dalam segala hal, apabila diberi hadiah misalnya maka berterima kasihlah,juga berterima kasihlah kepada setiap yang berjasa dalam hidup kita, yakni, ibu bapa, keluarga para ustaz , guru-guru , orang yang mengajarkan dan membantu kita sewaktu mendapatkan ilmu. Janganlah bersikap sombong dan takbur dengan meninggalkan sikap berterima kasih bahkan mengingkari kebaikan yang diberikan seseorang.
Isteri memiliki peranan yang cukup besar dalam membina rumah tangga bahagia. Isteri yang bijak, kreatif dan sentiasa menambah ilmu dalam usaha membentuk kebahagiaan, mereka pasti akan berjaya. Untuk itu, menurut Muhammad lagi, sifat ikhlas dalam diri juga perlu wujud bagi meningkatkan lagi kepercayaan orang di sekeliling kita.
Tanpa keihklasan yang dituntut dalam beramal bererti ianya tiada nilai walau seberat timbangan sayap nyamuk sekalipun di sisi Allah SWT.
Oleh itu, dalam menjaga kerukunan rumah tangga, para isteri perlu menanamkan sifat keikhlasan dan kejujuran. Jauhilah diri daripada memiliki sifat bermuka-muka atau bertopeng dalam melayari bahtera rumahtannga bersama suami. Contohilah sifat yang dipamerkan oleh Saiditina Khadijah terhadap suaminya Nabi Muhammad SAW sebagai satu model dan ikutan yang boleh dipelajari. Selain daripada sifat ikhlas, isteri juga mestilah sentiasa mentaati suami mereka dan menjaga maruah suami selama mana suaminya itu tidak menyuruh atau melakukan perkara yang bertentangan dengan agama. Apabila si isteri keluar rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti bekerja, melawat sanak saudara atau keluar membeli-belah, pakaian yang dipakai hendaklah menutup aurat dan tidak menjolok mata, berjalan dengan cara yang tidak menarik perhatian ramai serta berkelakuan baik. Si isteri perlulah menundukkan pandangan serta menjauhkan dirinya daripada segala fitnah yang mungkin akan berlaku. Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya… (Surah al-Nuur : ayat 31)
Akhir sekali dalam membina rumah tangga yang bahagia isteri juga perlu menjadi penyejuk mata suami. Cubalah isteri mencari perkara yang digemari oleh suami (soft spot). Contohnya, apabila si suami memberikan pemberian dalam apa sahaja bentuk, adalah menjadi tanggungjawab si isteri untuk menghargai pemberian suami itu. Jika mendapat hadiah walaupun yang kecil sahaja, isteri hendaklah menghargainya dan tidak mengkritik-kritik bentuk hadiah itu. Selain itu, untuk menyenangkan hati si suami melihat si isteri pula, maka si isteri haruslah menjaga dirinya supaya kelihatan ceria dan menarik.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Februari 2016