Keperitan Penawar Rindu Pada-Nya

ALLAH SWT berfirman mafhumnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Al-Mulk, ayat 2). Saat diuji, setiap perit yang dirasa cubalah pujuk hati menyatakan bahawa dugaan yang mendatang menghimpit itu bukan petunjuk Allah tidak peduli apatah lagi menyeksa tetapi tanda kasihNya. Itu antara kerangka perbincangan Usrah Nurani Jumaat lalu bernaqibkan Ustaz Syed Abdul Kadir AlJoofre serta rakan usrah di konti artis Aida Khalida dan Rozie Othman.

Simptom rindu menguasai diri adalah hadir perasaan tercari-cari, acap menyebut dan terkadang mengundang resah dan gelisah. “…Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan…”- (Surah An-Najm, ayat 44).

Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan diri. Sesuatu ujian itu pembuka mata hati . Secara tidak langsung akan mendidik untuk tidak mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah SWT kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali? Sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita.

Sesugguhnya, Allah timpakan ujian supaya hambanya bersabar. Iman yang lemah dan rendah akan membawa kepada sikap tidak redha dalam menghadapi ujian yang di beri.

Jika menganggap diri ditimpa musibah yang besar, hendaklah ingatkan diri bahawa bukan kita sahaja yang mengalaminya, mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau jauh lebih besar dari kita.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci tetapi percayalah yang Allah sangat kasih sebab itu di kurniakan ujian. Bukankah Allah telah kataan dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kemampuan hambanya  dalam menghadapi ujianNya. Itu tanda sayang dan kasihnya Allah kepada hambaNya.

Alihkan pandangan mata ke arah laut, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupan.

Jika rasa kecewa, alihkan pandangan ke arah sungai, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih, alihkan pandangan ke arah langit, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama.

Berdoalah kepada Allah, tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt. Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar. Dekatkan diri dengan pencipta yang menguasai seluruh alam, yang memegang setiap hati.

Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun. Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan diri pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

Perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Beruntung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah SWT sayang padanya.

Hari ini kita mungkin tak faham kenapa kita perlu lalui semua dugaan tu, tapi percayalah suatu hari nanti Allah akan tunjuk pada kita hikmahnya. Allah akan tunjuk kenapa kita insan terpilih untuk diduga. 

Hari ini mungkin kita rasa pahitnya segala dugaan sepanjang kehidupan. Tetapi, lihatlah suatu masa nanti pasti kita akan merasa manisnya setelah diuji berkali-kali. Ketika itu, mulut kita tidak akan berhenti mengucapkan syukur kepada Allah kerana menguji kita dengan tabah.

Bagi yang merasa kecewa dalam hidup, bagi yang rasa hampir putus asa. Lihatlah dunia sekeliling kita. Lihatlah mereka yang lebih susah dan lagi hebat dugaan dari kita. Jangan bandingkan diri kita dengan orang yang kita lihat senang dan bahagia. Setiap manusia telah ada bahagian masing-masing dengan dugaan yang berlainan. Jadi, ucapkan syukur padaNya, kerana masih diberi peluang untuk hidup dan bertempur dengan dugaan yang datang. Dekatkan diri pada Pencipta kerana hanya Dia yang layak tempat kita mengadu dan berserah. 

Prinsip kehidupan yang harus di pegang tiap kali ujian mendatang adalah meminta dan berdoa bukan dengan meminta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Februari 2016
Scroll to Top