KUALA LUMPUR, 13 Mac (IKIM) – Sebanyak RM 1.85 juta bantuan diberikan kepada 14 hospital dan pusat perubatan, termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Yayasan Institut Jantung Negara, dan Hospital Canselor Tunku Muhriz.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata bantuan ini merupakan komitmen Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam menzahirkan penghargaan kepada hospital dan pusat perubatan yang telah memberikan rawatan kepada pesakit termasuk bantuan juga diberikan kepada petugas barisan hadapan di hospital terpilih dengan peruntukan berjumlah RM200,000.

“Sumbangan makanan berbuka puasa kepada petugas ini diharap dapat memberikan semangat kepada warga kerja hospital untuk terus berkhidmat dan membantu pesakit menyantuni mereka dengan baik,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Rahmah Madani MAIWP : Majlis Sumbangan kepada Pusat Perubatan dan Hospital 1446H/2025M di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.
Beliau berkata sumbangan MAIWP ini bagi mengisi Tabung-tabung Kebajikan Hospital dalam usaha membantu pesakit yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kos bayaran bil-bil rawatan, ubat-ubatan dan sebagainya.

“MAIWP juga telah meluluskan bantuan sebuah coaster bus kepada Hospital Kuala Lumpur dengan jumlah bantuan sebanyak RM229,000 bagi kegunaan pesakit dan waris yang membuat rawatan di HKL.
Beliau dalam pada merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana sumbangan mereka memungkinkan program kebajikan ini terus dijalankan.
Turut hadir dalam program ini Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dan Dr. Shamsul Anuar bin Kamaruddin, Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah.