Rawat Jiwa

SESUNGGUHNYA anggota tubuh yang diciptakan paling mulia dalam diri manusia adalah hati (kalbu). Allah SWT berfirman dalam surah An-Nahl, ayat 78 yang bermaksud “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur”. Allah SWT menyebut tiga perkataan ini di dalam al-Quran sebanyak 132 kali yang menggambarkan betapa pentingnya kaitan perkataan ini kepada manusia.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkata, ulama tafsir berkata tiga perkataan iaitu pendengaran, penglihatan dan hati yang Allah sebutkan paling kerap di dalam al-Quran kerana ia adalah pintu kepada segala maklumat dan ilmu yang menyentuh kehidupan manusia. Dengan telinga, mukmin memperolehi pelbagai maklumat dan pengetahuan untuk bertindak dengan setiap ilmu yang diperolehi. Begitu juga dengan mata, mukmin itu dapat melakukan perkara-perkara yang membawa kebaikan kepadanya dan umat lain di muka bumi ini. Tidak kurang pula dengan hati kerana dari hatilah memberikan mukmin ketaqwaan dan kecintaan kepada Allah taala. Dari hati juga Allah SWT memberikan ilham kepada mukmin membuat penilaian dan perbezaan antara perkara baik dan buruk yang akan membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan.

Sesungguhnya hati adalah raja bagi anggota tubuh dan ketua dalam segala bentuk kehidupan manusia, jika baik hati itu maka baiklah kehidupan seseorang mukmin dan jika buruk atau rosak hati itu maka punahlah seluruh anggota tubuh dan kehidupan mukmin. Memelihara hati bukan seperti memelihara anggota badan yang lain, merawat hati perlu kepada ketaqwaan dan keampunan dari Allah SWT kerana hati yang selalu subur dengan mengingati Allah akan sentiasa terpelihara oleh rahmat Allah taala.

Apakah hati kita sihat atau sebaliknya? Hati yang sihat atau sakit dapat dilihat melalui perbuatan dan kata-kata seseorang mukmin. Orang yang hatinya subur dengan kebaikan terserlah melalui akhlak yang indah dan disenangi orang sekeliling manakala Allah redha ke atasnya. Manakala orang yang hatinya bermasalah, kotor, sakit dan tidak bersih juga diterjemah melalui perbuatan buruk, tidak beramal soleh bahkan tidak memberi kebaikan kepada dirinya dan orang sekeliling.

Dalam al-Quran surah al Hadid ayat 16 Allah SWT berfirman yang bermaksud “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan al-kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Jelas, bagi hati yang keras, sungguh banyak waktu yang dimiliki tetapi tidak disibukkan dengan mendekatkan diri dengan ayat-ayat Allah. Bahkan, hati tidak terdidik dengan ilmu-ilmu agama sehingga hati menjadi keras dan ini menyebabkan hati menjadi hitam untuk menerima ilmu dan kebaikan. Hati yang keras akan cenderung kepada perkara-perkara yang mengundang kepada dosa, perbuatan sia-sia dan perkara yang mungkar. Allah banyak kali mengingatkan di dalam al-Quran bahawa celaka dan rugilah bagi orang-orang mukmin yang hatinya keras untuk beramal soleh dengan amalan-amalan yang mendekatkan diri mereka dengan Allah.

Berbeza dengan mukmin yang hatinya jernih dengan titik-titik kebaikan, akan mudah menerima ilmu dan taat akan agama Allah. Orang yang hatinya bersih akan tersisih dari perkara-perkara yang dilarang bahkan hanya terarah kepada perbuatan yang hanya mendatangkan pahala Allah SWT.

Setiap mukmin perlu sentiasa berusaha mencari jalan mendidik dan merawat hati kerana hati yang sentiasa dirawat dan disuburkan dengan amalan-amalan soleh mudah tunduk akan setiap perintah Allah. Bahkan hati yang lembut akan mudah memperoleh ketenangan yang membuatkan dirinya menjadi hamba yang beramal soleh.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Februari 2018
\"\"
Scroll to Top