RASULULLAH SAW pernah bersabda, beruntunglah sesiapa yang pernah melihat wajah Baginda dan kemudian beriman dengannya. Lalu Baginda mengulangi ucapannya sebanyak tiga kali bahawa beruntunglah orang yang tidak pernah melihat wajahnya tetapi tetap beriman kepada Baginda. Sesungguhnya orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah umat yang hidup di dunia selepas kewafatan Baginda, termasuklah kita. Rasulullah dirasakan sangat dekat pada diri kita walaupun tidak pernah melihat wajahnya. Malah, bulan Rabiulawal adalah bulan yang sangat mulia kerana pada ketika itu seluruh umat manusia turut meraikan tarikh kelahiran Rasulullah SAW. Namun ia merupakan cabaran besar bagi umat manusia untuk terus mencintai dan mengingati Baginda disebabkan jarak masa yang terlalu lama, malah mereka lebih mudah menjadikan idola dari kalangan manusia yang berada pada zamannya.
Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, umat Rasulullah sewajarnya menunjukkan rasa kecintaan kepada Baginda dan mengamalkan cara hidup yang sebati dengannya. Selawat tidak hanya dizahirkan pada musim sambutan kelahiran Rasulullah SAW tetapi ia seharusnya dilakukan secara berterusan sehingga menjadi rutin di dalam kehidupan seharian. Malah Allah dan para malaikat turut berselawat ke atas nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya Allah SWT memanggil nama para nabi yang lain dengan nama mereka sendiri, seperti Zakaria, Musa, Ibrahim dan lain-lain. Tetapi panggilan kepada Nabi Muhammad disertai dengan Rasulullah SAW yang membuktikan bahawa betapa besarnya nilai Baginda disisi Allah. Oleh itu tidak ada alasan bagi orang mukmin untuk sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Realitinya pada masa kini, umat manusia lebih mengutamakan aktiviti lain di dalam kehidupan mereka dan melupakan amalan berselawat ke atas Rasulullah. Selain itu untuk mendekat diri dengan Baginda, kita seharusnya mendekatkan diri dan belajar dengan sirah hidup Rasulullah supaya lebih mengenalinya. Mendalami sirah Baginda juga mengelakkan kejahilan dan pertikaian yang tidak seharusnya berlaku berkaitan peribadi Rasulullah, malah sifat malas untuk belajar mengenali Baginda akan mendorong seseorang individu berkelakuan kurang sopan, sombong dan tidak menghargai pandangan orang lain. Di antara rujukan untuk mendalami sirah termasuklah kitab-kitab karangan para ulama seperti Fiqh al-Sirah karangan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Sirah al- Bidayah wan Nihayah dan lain-lain.
Ada di kalangan para sahabat yang mengenali Rasulullah, sanggup datang dari tempat yang jauh untuk solat di belakang Baginda. Contohnya Julaibid RA yang dikisahkan memiliki wajah yang hodoh dan menakutkan yang ditegur oleh Rasulullah setelah selesai menunaikan solat Asar. Pemuda itu hidup bersendirian, tidak berharta dan tidak berkeluarga, lalu setelah Baginda bertanya berkali-kali soalan sama ada dia berkeinginan untuk berkahwin, dia hanya berkata bahawa tidak ada sesiapa yang ingin menerimanya. Kemudian Rasulullah meminta Julaibid untuk bertemu dengan seorang ketua kabilah di hujung kota itu yang mempunyai seorang anak perempuan yang cantik. Rasulullah memberitahu supaya disampaikan salam Baginda kepada ketua kabilah itu dan mengarahkan Julaibid untuk berkahwin dengan anaknya itu. Setelah disampaikan khabar dan hajat Rasulullah, ketua kabilah dan isterinya terpinga-pinga dengan cadangan agar anak mereka dikahwinkan dengan Julaibid. Namun anak perempuan mereka meminta kepada kedua-dua orang tuanya untuk menuruti hasrat tersebut kerana pinangan itu datangnya daripada Rasulullah dan dia bersedia untuk mengahwini Julaibid.
Setelah mendengar perkhabaran mengenai penerimaan lamaran oleh perempuan itu, Rasulullah bingkas bangun dan mendoakan agar Allah memberkatinya dan menjadikannya wanita yang terkaya di Kota Madinah serta dipanjangkan umurnya. Selang sebulan selepas perkahwinan itu, Julaibid pergi berperang dan gugur syahid. Selesai Perang Uhud, para sahabat membuat perkiraan siapakah yang syahid ketika itu dan sehingga akhirnya nama Julaibid tidak disebut. Rasulullah berkata bahawa nama yang syahid belum selesai kerana masih ada yang tertinggal, kerana malaikat Jibril telah menyampaikan perkhabaran kepada Baginda, Julaibid telah gugur syahid apabila dia cuba membunuh musuhnya yang kelapan. Kemudian setelah para sahabat berusaha mencari jasad Julaibid, mereka mendapati ada satu mayat yang berada di dalam keadaan terlungkup. Rasulullah dipanggil oleh para sahabat untuk mengenalpasti jasad tersebut adalah Julaibid, lalu Baginda mengiyakannya dan duduk disisi jasad sambil memusingkan badan Julaibid dan menyapu pasir yang terlekat pada wajahnya itu. Rasulullah tunduk kedahi Julaibid, menangis dan menyebut, “Wahai Julaibid, kamu sebahagian aku dan aku adalah sebahagian darimu,” lalu mencium dahinya sebanyak tiga kali. Ucapan itu diulang beberapa kali oleh Rasulullah yang membuktikan betapa Baginda sangat menghargai sahabatnya yang telah gugur syahid itu.
Kecintaan terhadap Rasulullah SAW juga perlu dizahirkan pada peribadi orang mukmin dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk tingkah-laku yang baik, tutur bicara yang sopan dan lain-lain sebagaimana yang terdapat pada peibadi mulia Baginda. Orang mukmin hidup bersama sunnah Rasulullah akan mewujudkan qudwah yang sempurna dan di antara faktor kekeliruan, gejala tuding-menuding dan keji mengeji di antara satu sama lain yang ada di kalangan umat manusia kini adalah akibat daripada tiadanya peribadi Rasulullah SAW di dalam amalan kehidupan mereka.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Disember 2017