Ramadan : Rumah Penuh Rahmah

RASULULLAH SAW bersabda, “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan. Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlomba-lombanya kamu pada bulan ini dan membanggakan kalian pada para malaikat-Nya. Maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari kalian. Karena orang yang sengsara adalah orang yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (Riwayat At-Thabrani).

Ramadan itu adalah bulan perubahan. Umpama bertemu lombong emas. Maka individu yang bijak akan berhenti, melombong dan seterusnya meneruskan perjalanan mengembangkan hasil emas kepada sesuatu yang lebih bermanfaat dan berpanjangan sifatnya. Berbeza pada individu yang kurang bijak, waimah bertemu tapak perlombongan yang lumayan tidak akan diendahkan dan hanya meneruskan perjalanan dengan bekalan yang hanya cukup-cukup makan. Tetapi ada pula individu yang berhenti tetapi hanya sekadar melihat dan perjalanannya terhenti di situ sekadar pemerhati dan tidak berganjak meneruskan perjalanan.

Usrah Nurani Jumaat lepas bersama naqib Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Jofree menerangkan bahawa saat tibanya Ramadan, suburkan semangat ‘stop and go’. Ada perkara perlu di kurangkan malah ada yang perlu di hentikan. Namun pada masa yang sama ada perkara yang di galak untuk dilakukan malah di perbanyakkan. Usrah lebih bermakna apabila di tambah dengan kehadiran pasangan suami isteri Saudara Redza Shah Azmeer dan Irma Hasmie sebagai rakan usrah dengan meluaskan lagi makna Ramadan buat pendengar IKIMfm untuk memanfaatkan Ramadan dengan memberi makna Ramadan buat keluarga.

Tanpa disedari, Ramadan sudah memasuki fasa kedua. Telah menjadi tanggungjawab sebagai umat Islam untuk meneruskan ibadah dalam bulan mulia ini apatah lagi belum pasti akan bertemu Ramadan pada tahun hadapan. Justeru, peluang dimanfaatkan semua sebaik mungkin bukan secara individu tetapi cuba di raih bersama keluarga.

Sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadith ini sepatutnya dihayati dengan penuh rasa insaf bahawa amalan pada bulan Ramadhan ini haruslah ditunjangi dengan amalan penuh keimanan, kesedaran dan penuh pengharapan dalam usaha meraih reda Allah SWT seterusnya mencapai objektif puasa agar menjadi insan yang bertaqwa.

Namun, amat sayang jika amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan ini hanya dilakukan berseorangan dan melupakan ahli keluarga . Sepatutnya, keluarga harus dipupuk dengan sifat mencintai masjid, budaya membaca al-Quran, apatah lagi bulan yang penuh dengan “tawaran istimewa” kepada hamba-hambaNya dalam usaha memburu syurga Allah.

Allah juga telah mengingatkan agar hambaNya menjaga dan mengingatkan ahli keluarga supaya membuat apa yang disyariatkan oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarang olehNya sebagaimana firman Allah SWT mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mengingkari (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dengan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (Surah At Tahrim, ayat 6).

Adalah menjadi tanggungjawab ketua keluarga, ataupun sebagai ahli keluarga agar saling mengingatkan antara satu sama lain dari sebarang perkara yang boleh mengjerumuskan diri ke dalam api neraka. Budaya menghidupkan amalan-amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah harus ditekankan khususnya pada “madrasah” Ramadan ini. Selaku Umat Baginda nabi seharusnya Baginda menjadi suri teladan dalam hal ini yang mendidik ahli keluarganya ketika di bulan Ramadan, sebagaimana hadis yang bermaksud:“Adalah Rasulullah SAW apabila tiba 10 malam terakhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat kainnya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini membuktikan bahawa Rasulullah terlebih dahulu menjadikan ahli keluarga sebagai keutamaan malah berkongsi sesama ahlinya dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan. Ini adalah satu contoh tauladan yang baik dari Rasulullah yang mungkin jarang dilakukan oleh masyarakat kita. Mereka menyangka cukup bagi suami dan isteri, ayah dan ibu sahaja untuk melakukan ibadah sedangkan anak-anak mereka dibiarkan membuang masa menonton televisyen, meluang masa yang sia-sia bersama rakan-rakan di kedai kopi, di kota raya, lebih teruk lagi malam-malam mereka diisi dengan keseronokan seolah-olah tiada beza malam-malam yang punya Lailatul Qadr ini dengan malam-malam di bulan yang lain.

Maka, kehadiran Ramadan ini semoga menjadi titik tolak pembentukan keluarga yang benar-benar sakinah, mawardah dan Rahmah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Jun 2016
WhatsApp
Scroll to Top