RAIKAN AIDILFITRI PENUH KESYUKURAN, RAIH REDA ILAHI

Sambutan Aidilfitri yang diraikan setahun sekali adalah perayaan yang disyariatkan oleh Islam. Ia merupakan hadiah istimewa setelah sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa dengan penuh kesungguhan, serta disusuli dengan meningkatkan amal ibadah dan amalan kebaikan semata-mata mengharapkan rahmat dan keampunan Allah SWT. Oleh yang demikian, Aidilfitri perlu diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran supaya rahmat dan reda Allah SWT sentiasa menaungi kehidupan kita.

Aidilfitri diraikan sebagai tanda kemenangan kita melawan hawa nafsu dengan menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, serta sebagai tanda kejayaan kita dalam usaha mencapai ketinggian iman dan takwa kepada Allah SWT. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 102 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

Bagi umat Islam yang benar-benar berjaya menjadikan Ramadan sebagai madrasah atau medan tarbiah, maka pastinya dapat merasai nikmat perubahan dalam diri dan kehidupan daripada kurang baik kepada yang lebih baik. Perubahan yang dicapai ini pastinya hasil daripada kesungguhan kita melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan sehingga dapat menghakis sifat-sifat mazmumah dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah dalam diri dan jiwa. Perubahan ini seharusnya bukan bersifat sementara, sebaliknya ia perlulah berkekalan sehingga kita melangkah ke Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya.

Sebaik sahaja kita melangkah ke1 Syawal, kita disunatkan untuk memperbanyakkan takbir bagi membesarkan Allah SWT agar kita selaku hamba Nya sentiasa sedar bahawa sifat-sifat kehambaan mesti sentiasa tersemat kukuh dalam jiwa dan sanubari kita. Ia juga menjadi lambang perubahan diri untuk terus istiqamah melakukan amal ibadah, amalan kebaikan dan kebajikan walaupun pada bulan-bulan yang lain. Hal ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Justeru, jadikanlah sambutan Aidilfitri sebagai matlamat kita dalam memulakan langkah baharu untuk menjalani kehidupan yang lebih baik menurut aturan syariat demi meraih keredaan Allah SWT. Kita juga diingatkan agar tidak melampaui batas syariat sehingga menyebabkan segala ganjaran kebaikan yang telah dilakukan dalam bulan Ramadan menjadi sia-sia. Firman Allah SWT dalam surah al-Jathiah, ayat 18 yang bermaksud: “Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.”

Selain itu, kita juga disarankan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan sanak saudara dengan amalan ziarah menziarahi dan saling bermaaf-maafan bagi mengukuhkan lagi tali persaudaraan antara satu sama lain. Hal ini selari dengan anjuran Islam agar umatnya sentiasa memupuk nilai kasih sayang dan kemesraan sesama insan, terutamanya kepada ibu bapa, kaum keluarga, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, dan masyarakat yang ada di sekeliling kita.

Dalam pada kita bergembira menyambut hari raya juga, perlu diingat agar ia diraikan dengan penuh kesederhanaan dan tidak dicemari dengan perbuatan yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT seperti meninggalkan solat fardu, mendedahkan aurat, meraikannya dengan hiburan yang melalaikan, tidak menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, melakukan pembaziran, dan lain-lain perkara yang ditegah oleh Islam.

Dalam konteks pembaziran misalnya, ia merupakan antara isu yang kerap kali timbul setiap kali musim perayaan. Hal ini sering terjadi terutamanya semasa penganjuran rumah-rumah terbuka yang menyaksikan hidangan diambil melebihi keperluan tekak sehingga menyebabkan makanan tidak habis dimakan dan akhirnya dibazirkan begitu sahaja.

Sedangkan Islam secara jelas melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang yang suka membazir sebagai saudara syaitan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’, ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang melakukan pembaziran adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Didapati pembaziran makanan semasa musim perayaan menyebabkan berlakunya peningkatan sisa makanan secara mendadak iaitu antara 15 hingga 20 peratus. Menurut pendedahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2022, didapati rakyat di negara ini menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa pepejal sehari dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,000 tan terdiri daripada sisa makanan yang merangkumi 44.5 peratus daripada komposisi sisa pepejal.

Trend peningkatan sisa makanan semasa musim perayaan sekali gus memberi kesan jangka panjang kepada kelestarian alam sekitar. Misalnya, sisa makanan yang berakhir di tapak-tapak pelupusan sampah akan menghasilkan gas metana yang tinggi. Gas ini didapati 21 kali ganda berbahaya daripada gas karbon dioksida dan menjadi gas perosak lapisan ozon yang utama yang menyumbang kepada perubahan iklim dunia dan pemanasan global.

Selain itu, sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah juga boleh menyebabkan berlakunya pencemaran ke atas sumber air. Hal ini berlaku apabila air yang tercemar mengalir dari tapak pelupusan sampah, seterusnya masuk ke dalam sumber air bawah tanah. Air hujan yang mengalir di tapak pelupusan sampah pula akan membawa sebahagian besar bahan cemar daripada sisa makanan, seterusnya mengalir ke sistem perparitan dan sungai. Ini akan menyebabkan ekosistem sungai tercemar dan menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai, yang akhirnya akan menjejaskan hidupan akuatik yang menghuni dalam ekosistem berkenaan.

Melihat kepada kesan buruk akibat daripada pembaziran makanan, maka ia perlu dihentikan dengan segera. Setiap daripada kita perlu berpada-pada dan berhemah dalam mengambil juadah semasa menghadiri rumah-rumah terbuka sepanjang musim perayaan ini agar pembaziran dapat dielakkan. Bagi pihak penganjur pula, mereka perlu memastikan penyediaan juadah adalah memadai dengan jumlah tetamu jemputan. Dalam konteks ini, peranan kedua-dua pihak yakni tetamu dan penganjur amat penting kerana usaha mengurangkan pembaziran makanan hanya akan lebih berkesan bermula dengan diri setiap individu sendiri. Perlu disedari bahawa kesucian Aidilfitri tidak seharusnya dicemari dengan amalan pembaziran, sebaliknya ia perlu disambut dengan penuh kesyukuran demi keredaan Allah SWT.

Artikel ini telah ditulis oleh Puan Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin, Felow di Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar (KIAS) IKIM

Scroll to Top