QURANIC MADANI AKAN DIPERLUAS, BAWA MESEJ PERPADUAN DAN KEDAMAIAN

KUALA LUMPUR, 8 Mei (IKIM) – Kerajaan merancang memperluaskan penganjuran program Quranic MADANI pada skala lebih besar sebagai medium menyebarkan mesej kasih sayang, keamanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata program berteraskan pengisian selawat, zikir, munajat dan tazkirah itu menjadi platform penting dalam membina keharmonian serta memperkukuh ukhuwah rakyat Malaysia.

Menurut beliau, program Quranic MADANI yang dimulakan pada malam ini akan diteruskan secara lebih menyeluruh pada masa akan datang bagi membawa mesej keamanan dan perpaduan kepada masyarakat.

“Kita ingin membawa mesej keamanan dan perpaduan untuk merapatkan lagi ukhuwah serta silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya selepas menghadiri Program Quranic MADANI: Night Reset – Bersatu dalam Saf di Bukit Bintang malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dato’ Haji Mohammad Sahar Mat Din menyifatkan penganjuran program kerohanian di tengah ibu kota sebagai pendekatan dakwah yang kreatif dan strategik dalam mendekati masyarakat pelbagai latar belakang.

Beliau berkata pendekatan itu bertepatan dengan konsep MADANI yang menampilkan Islam secara terbuka dan mesra masyarakat di pusat bandar yang menjadi tumpuan ekonomi serta pelancongan.

“Islam mesti tampil menampilkan diri dan aktiviti di kota. Ini konsep MADANI. Aktiviti seperti ini wajar diadakan di bandar kerana ia menjadi pusat ekonomi dan tumpuan pelancong dari dalam serta luar negara,” katanya.

Menurut beliau, program seperti Quranic MADANI juga mampu memperkenalkan konsep “ibadah tourism” menerusi integrasi aktiviti pelancongan dan pengisian kerohanian kepada masyarakat.

Tambah beliau, pendekatan dakwah masa kini perlu bersifat lebih terbuka dan mudah didekati supaya Islam dapat menyantuni serta berinteraksi dengan semua kelompok masyarakat.

“Islam mesti bersifat approachable, bersedia untuk menyatu dan engage dengan sesiapa sahaja. Ini perkembangan yang sangat menarik dalam konteks dakwah era ini yang memerlukan pendekatan baharu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata mesej yang diketengahkan menerusi program itu mencerminkan aspirasi rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian, saling menghormati dan mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau berkata nilai-nilai tersebut penting dalam usaha membentuk sebuah negara yang aman, harmoni serta terus maju dan dihormati di peringkat antarabangsa.

WhatsApp
Scroll to Top