RANGKAIAN MASJID AN-NUR KETUJUH DIRASMIKAN DI BANDAR TIRAM

JOHOR BAHRU, 9 Mei (IKIM) – Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Masjid Bandar Tiram yang menjadi Rangkaian Masjid An-Nur ketujuh di bawah pengurusan Waqaf An-Nur Corporation Berhad.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Hadir sama Onn Hafiz Ghazi, barisan Exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Masjid yang dibina dengan kos RM11 juta itu mampu menampung sehingga 1,600 jemaah pada satu-satu masa.

Keistimewaan masjid tersebut terletak pada reka bentuk seni binanya yang diilhamkan oleh Sultan Ibrahim Iskandar.

Pembinaan masjid berkenaan bermula pada Disember 2022 dan ia telah diberi kebenaran serta diisytiharkan sebagai tempat Solat Jumaat pada 12 September 2025.

Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur, Bukhari Abd Rahman berkata masjid yang dibina dan diuruskan oleh Waqaf An-Nur itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, malah menjadi pusat kegiatan komuniti khususnya bagi penduduk Bandar Tiram dan kawasan sekitarnya.

Menurut beliau antara kemudahan yang disediakan termasuk pejabat pengurusan, bilik kuliah, bilik penyusuan serta bilik pengurusan jenazah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyumbang utama pembinaan masjid itu iaitu Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Johor Plantations Group Berhad, para penyumbang individu dan orang ramai yang menjayakan pembinaan masjid berkenaan.

WhatsApp
Scroll to Top