PROGRAM SANTUNI KOMUNITI MADANI PULAU PERHENTIAN

Besut, 2 Jun (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar hari ini merasmikan Program Santuni Komuniti MADANI bersama YB Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pulau Perhentian, Terengganu.

Mohd Na’im berkata program ini merupakan antara program yang dirancang di bawah Bahagian Dakwah JAKIM bagi tahun 2024 dengan kerjasama Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim di antara agensi agama dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat bersama masyarakat setempat di samping menyampaikan sumbangan kepada Penduduk asnaf di Pulau Perhentian, Terengganu.

Dalam majlis hari ini Mohd Na’im menyampaikan sumbangan oleh agensi agama melalui JAKIM, TV AlHijrah dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akan berupa bakul makanan dan sumbangan musaadah sebanyak RM14,000.00 kepada 70 pemandu bot manakala SDK JAKIM melalui Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000.00 kepada 500 asnaf fakir miskin di pulau ini.

Dalam majlis ini juga diadakan simbolik penyerahan rumah asnaf daripada Yayasan Taqwa sebanyak RM100,000.00 dan Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak RM50,000.00 di samping sumbangan daripada SDK JAKIM berbentuk tiga buah laptop, 200 buah Muqaddam dan 222 set alat tulis manakala TV Al-Hijrah juga menyumbang sebanyak RM2,500.00 berbentuk alat tulis kepada para pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian.

Mohd Na’im berkata keseluruhan aktiviti yang dijalankan di Pulau Perhentian ini adalah untuk membantu meningkatkan tahap penghayatan ilmu dan rohani serta meringankan bebanan, memberi manfaat, dan kesejahteraan kepada komuniti di kawasan yang daif dan yang ditimpa kesusahan.

“Semoga dengan bantuan yang dihulurkan ini akan dapat meringankan beban saudara-saudara kita yang terjejas dari segi material dan fizikal dan memberi manfaat kepada para pelajar yang memerlukan.

Kita mempunyai pelan pelaksanaan program yang kita gerakkan secara bersama antaranya pengukuhan pengisian ilmu di kalangan warga Pulau Perhentian dan program Musaadah CSR untuk membantu pihak yang memerlukan. Ini adalah usaha yang sangat baik.”

Beliau berkata kerajaan sentiasa perihatin dan mengambil berat nasib yang dialami oleh golongan miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan semua golongan yang tidak berkemampuan serta berkeperluan dalam memenuhi hasrat pembangunan negara.

“Dalam era pengurusan yang semakin kompleks hari ini, saya sentiasa memberi ingatan kepada agensi-agensi Islam untuk memaksimumkan sumber manusia yang ada, selain perlu kreatif untuk mendapatkan keberhasilan yang tinggi. Ini tentunya menuntut satu pemikiran luar kotak serta memecahkan budaya kerja secara “silo”.

“Kerja-kerja dakwah tidak boleh lagi dilaksanakan oleh satu pihak sahaja secara sendiri-sendiri. Seberapa banyak pihak perlu dilibatkan sebagai rakan strategik dalam kerja-kerja dakwah untuk memastikan hasil yang lebih baik. Apabila kita bergabung, ia menambahkan kekuatan kita. Ia perlu kepada penyelarasan dan disusun secara terancang atau dalam bahasa pengurusan kita sebut “well-organized” atau “well-planned”.

Scroll to Top