PBAKL BANTU SEBARKAN DASAR, PROGRAM KERAJAAN DALAM PENTADBIRAN ISLAM – MOHD NAIM

Kuala Lumpur, 31 Mac (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Dr Mohd Naim Bin Mokhtar hari ini merasmikan Pavilion Al-Falah serta melancarkan buku-buku terbaru agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Mohd Naim berkata ‘Pavilion Al-Falah’ dinamakan bersempena dengan gabungan ke semua agensi Pengurusan Hal Ehwal Islam di bawah jabatannya dalam menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Menurut beliau, gabungan agensi di jabatannya itu adalah sebagai satu inisiatif bagi mencerminkan kesatuan antara mereka dalam menghasilkan impak yang tinggi khususnya dalam bidang penerbitan dan pembukuan.

Justeru, kehadiran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) setiap tahun bukan sahaja dapat membantu agensi-agensi hal ehwal Islam memperkenalkan karya terbitannya tetapi dasar serta program kerajaan dalam pentadbiran Islam juga dapat disebarkan kepada masyarakat di luar sana.

Sementara itu, turut terdapat 12 buku-buku baharu terbitan agensi di bawah YB Menteri di JPM (HEA) dilancarkan oleh Mohd Naim iaitu 5 buah buku terbitan JAKIM, 2 daripadanya adalah edisi Braille, 3 buah buku daripada YADIM, 3 karya terbitan IKIM serta 1 judul baharu daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan TV al-Hijrah.

Antara buku IKIM yang turut serta dalam perasmian penerbitan buku baharu pada hari ini ialah ‘ Wahai Anak Muda!’ karya Dr Nik Roskiman, ‘Vaksinasi dari Perspektif Sains dan Islam’ karya Dr Shaikh serta ‘Islam dan Isu Makanan Kontemporari’ karya Norkumala.

Orang ramai boleh hadir ke Pavilion Al-Falah bagi mendapatkan buku-buku terbitan baharu serta menyertai aktiviti interaktif bersama agensi di bawahnya dengan lebih dekat.

Scroll to Top