Prinsip Dan Adab Dalam Berkhilaf

AKHIR-AKHIR ini banyak kedengaran kemelut perbezaan pandangan dalam kalangan tokoh-tokoh agama, disahut nyaring oleh lisan para pengikut masing-masing sehingga kadang kala mengheret kepada perbalahan yang parah. Apabila ditambah dengan amarah yang tidak terkawal, perbalahan ini boleh membawa kepada persengketaan yang memecah-belahkan.

Dalam menilai perbezaan pandangan yang berlaku ini, ada yang berpandangan bahawa khilaf dan perbezaan pandangan antara kelompok manusia adalah perkara yang fitrah dalam kehidupan. Ia malah merupakan sebahagian dari ciri-ciri ciptaan Allah yang menjadikan makhlukNya dengan pelbagai bentuk perbezaan.  Antara hujah-hujah yang diketengahkan bagi menyokong pandangan ini ialah:

Pertama, al-Qur’an sendiri menjelaskan bahawa ketika Nabi Adam A.S. bakal dicipta oleh Allah, para malaikat mempersoal tujuan penciptaan Adam dengan berhujah bahawa manusia bakal menumpahkan darah. “Ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi.” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan di muka bumi orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah..” (Surah al-Baqarah, ayat 30). Ini merupakan petanda awal dari al-Qur’an bahawa manusia sememangnya suka berbalah-balahan.

Kedua, sejarah merakamkan pelbagai bentuk pertentangan dan persengketaan antara kelompok manusia sepanjang kehidupan manusia yang melibatkan peperangan dan pembunuhan. Ketiga, kewujudan pelbagai mazhab dalam bidang ilmu menggambarkan bahawa terdapat perselisihan pandangan yang banyak dalam kalangan manusia.

Walaupun kelihatan kukuh, hujah-hujah yang diketengahkan di atas harus dinilai dengan lebih teliti supaya ia tidak dijadikan asas untuk mereka yang berbalah dan berkhilaf untuk terus bersengketa berdasarkan premis bahawa khilaf adalah fitrah kemanusiaan.

Malah, sekiranya dianalisa dengan lebih mendalam, hujah yang berpandangannya sebaliknya adalah lebih kukuh, iaitu hakikat bahawa manusia pada fitrahnya lebih cenderung untuk bersetuju dan dan bersatu. Asas kepada hujah ini adalah seperti berikut:

Pertama, di samping perbalahan dan perselisihan, sejarah manusia juga merakamkan banyak usaha dan aktiviti yang dijalankan atas nama kerjasama, kesatuan fikiran dan persepakatan. Pelbagai bentuk tamadun dan peradaban yang terbangun hasil ciptaan manusia menggambarkan bahawa manusia dapat bersama dan bersatu dalam melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Sekiranya fitrah manusia adalah perbalahan dan perpecahan, sudah pasti tidak banyak hasil peradaban tinggi yang terhasil dalam sejarah.

Kedua, dalam sejarah kemanusiaan, jangka masa manusia hidup dalam keadaan aman, sejahtera dan bersatu adalah lebih lama berbanding tempoh masa mereka bersengketa. Di zaman Rasulullah sendiri, peperangan dan perbalahan hanyalah sebahagian kecil dari episod kehidupan baginda yang amat panjang.

Ketiga, al-Qur’an menegaskan tentang kepentingan kesatuan yang merupakan fitrah kepada kehidupan ketundukan kepada Tuhan. “Berpegang teguhlah kamu dekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 103). Ini bermakna perpecahan yang timbul dalam kalangan manusia adalah perkara yang mendatang setelah manusia pada asalnya hidup dalam keadaan aman.

Keempat, adanya konsep ijma’ sebagai salah satu sumber hukum Islam menggambarkan bahawa fitrah manusia cenderung untuk mencapai persetujuan dalam pandangan manusia.

Berdasarkan pandangan di atas, bolehlah disimpulkan bahawa walaupun khilaf banyak berlaku dalam masyarakat, bukanlah satu fitrah yang harus dipertahankan, jauh sekali dijadikan asas kepada perpecahan yang berterusan. Malah sekiranya diteliti semangat yang dibawa oleh al-Qur’an berkaitan ikhtilaf dan kesatuan, ternyata al-Qur’an sentiasa menyarankan manusia supaya bersatu dan bersepakat dalam melakukan sesuatu. Malah prinsip tauhid sendiri mencerminkan kepentingan kesatuan yang harus diterjemahkan dalam kehidupan manusia.

Justeru itu, walaupun terdapat khilaf dalam masyarakat termasuk yang membawa kepada perpecahan, kesatuan tetap merupakan prinsip unggul yang dijunjung tinggi oleh agama justeru harus dijadikan matlamat utama dalam kehidupan. Tidak hairanlah kesatuan ini menjadi tema utama al-Qur’an apabila berbicara tentang kemasayarakatan. Begitu juga dengan hadis-hadis yang menyeru kepada kesatuan dan menjauhi perselisihan seperti: “Janganlah kamu berselisih kerana orang-orang sebelum kamu musnah kerana mereka berselisih.” Dalam hadis lain, “Kamu lihat kaum mukminin dalam berkasih saying dan menjalin hubungan seperti satu tubuh; apabila salah satu anggota tubuh mengeluh kerana sakit, maka seluruh tubuh ikut merasakannya.”

Mungkin ada yang menimbulkan persoalan dengan membawa hadis  “ikhtilaf dalam umatku adalah satu rahmat” yang menggambarkan bahawa perbezaan pandangan adalah suatu kebaikan dan rahmat dari Allah. Perlu ditegaskan bahawa, selain dari sanad hadis tersebut yang diragui, maksud hadis berkenaan, sekiranya diambil sebagai hujah sekalipun, harus ditafsir secara khusus, iaitu merujuk kepada ikhtilaf dalam bentuk ijtihad ilmu yang memberi ruang kepada kemudahan dalam melakukan sesuatu amalan agama. Dengan kata lain, makna hadis tersebut tidak sama sekali tidak merujuk kepada ikhtilaf yang membawa kepada perbalahan, perpecahan dan kemusnahan. Maksud inilah yang gambarkan oleh Khalifah Umar bin Abd Aziz yang menyatakan bahawa beliau tidak suka sekiranya para sahabat tidak berikhtilaf, kerana jika mereka sepakat di atas satu–satu pendapat sudah tentu orang ramai akan berada di dalam kesempitan. ‘Mereka’, yang dimaksudkan oleh khalifah Umar, merujuk kepada imam-mam yang diikuti oleh umat. Sekiranya seseorang berpegang dengan pendapat salah seorang dari mereka, sudah tentu ia akan berada dalam keluasan.

Salah satu perkara yang harus diambil perhatian dalam menangani masalah perbezaan pandangan ialah dengan mengetahui bentuk perbezaan pandangan yang berlaku, adakah ianya perbezaan dalam bentuk pertentangan yang tiada ruang pengharmonian atau ia sekadar perbezaan pandangan yang mempunyai ruang untuk diharmonikan. Yang pertama, pada asasnya merujuk kepada perkara-perkara usul (fundamental) dalam agama sementara yang kedua merujuk kepada perkara furuk yang sememangnya terbuka kepada khilaf. Permasalahannya ialah, betapa banyak perbalahan yang berlaku dalam masyarakat yang disebabkan oleh perbezaan dalam bentuk kedua sehingga menyebabkan perbalahan dan permusuhan yang membinasakan.

Yang paling penting untuk dipegang dalam hal yang berkaitan dengan perbezaan pandangan ialah prinsip dan adab dalam berkhilaf. Antara prinsip dan adabnya ialah mengutamakan dalil dan hujah berbanding emosi, memahami keutamaan dan cabangan dalam isu-isu yang diperselisihkan, berlapang dada atas perbezaan yang bersifat cabangan, berusaha mencari ruang keharmonian berkaitan sesuatu perkara yang menjadi pertentangan, menjauhi sikap ta’sub terhadap kelompok, menekankan keikhlasan dalam mencari kebenaran dan mengadakan dialog dengan cara terbaik dan rasional.

Sekiranya adab-adab ini dijaga insha’Allah, kita bakal melihat lebih banyak kesatuan dan keharmonian dalam masyarakat berbanding persengkataan dan kekhilafan.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri

Scroll to Top