Menuntut Ilmu Perlu Panduan

KEBELAKANGAN ini kita melihat semakin ketara kecenderungan masyarakat Islam di negara kita untuk mempelajari ilmu-ilmu agama sama ada secara formal mahupun tidak formal. Kita dapati permintaan yang amat tinggi untuk menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah agama dan tahfiz, sama ada yang dianjurkan oleh kerajaan ataupun pihak persendirian. Ada ibubapa yang sanggup menghantar anak-anak mereka ke madrasah-madrasah di luar negara kerana percaya anak-anak mereka akan mendapat pendidikan yang lebih baik. Pada masa yang sama masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara rancak menganjurkan kelas pengajian mingguan dan bulanan yang dikendalikan oleh guru-guru jemputan.

Bagi mereka yang berfikiran optimis keadaan ini dilihat sebagai petanda yang baik bahawa tahap kefahaman dan pengamalan Islam pada keseluruhannya sedang meningkat naik. Tidak ada salahnya mengambil sikap yang optimis, namun lebih baik kalau sekiranya pada masa yang sama kita berhati-hati dan tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana masih terlalu awal untuk kita melihat dan menilai kesannya. Secara umumnya bolehlah kita katakan bahawa kecenderungan kepada agama yang ditunjukkan dengan permintaan yang tinggi terhadap sekolah dan pengajian agama adalah sesuatu yang baik. Akan tetapi baik atau tidak kesannya kelak amatlah bergantung kepada apa yang dituntut dan diajar itu.

Pada umumnya masyarakat melihat ilmu-ilmu agama itu sebagai baik semuanya, dan mereka yang menuntut ilmu agama sebagai golongan yang melakukan kebaikan. Akan tetapi tidak ramai yang sebenarnya mengetahui bahawa ilmu-ilmu agama itu sendiri masing-masing mempunyai kedudukan dan taraf keutamaan yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Dalam Kitab Ilmu Imam Ghazali menjelaskan bahawa dalam menuntut ilmu ada pertimbangan kadar yang mesti diketahui dan diraikan kerana ada ilmu yang tercela semata-mata, sama ada sedikit ataupun banyak; ada ilmu yang baik semata-mata, dan semakin banyak dimiliki semakin baik; dan ada ilmu yang hanya baik dan terpuji kalau sekiranya ia tidak melebihi kadar yang tertentu, jika tidak maka ia tidak lagi baik dan terpuji. Ilmu yang tercela adalah yang tidak memberikan faedah, ataupun yang mendatangkan mudarat, sama ada kepada diri sendiri ataupun kepada masyarakat.

Ilmu yang tiada dihadkan penuntutannya sebanyak-banyak yang mungkin adalah yang mengenalkan manusia kepada Allah dan mendatangkan cinta kepadaNya, kerana itulah ilmu yang membawa kepada kebahagiaan hakiki. Dari kalangan ilmu-ilmu agama, yang wajib dituntut sebagai fardhu ain hanyalah perkara-perkara yang berkaitan dengan asas-asas akidah dan amalan zahir dan batin berdasarkan keperluan setiap individu yang berbeza-beza taklif dan cabaran yang yang dihadapi dalam kehidupan masing-masing.

Mendalami cabang-cabang ilmu agama adalah fardhu kifayah, dan dalam melakukannya kebijaksaan dalam mempertimbangkan kadar yang sesuai dengan keperluan diri masing-masing amatlah penting kerana umur manusia terlalu singkat untuk dihabiskan dalam menuntut ilmu yang tidak bermanfaat buat dirinya. Maka segala persoalan khilafiyah dalam akidah dan fekah hendaklah dijauhkan kerana ia bukan sahaja tidak berfaedah bahkan memudaratkan diri.

Akan tetapi dalam perkara-perkara khilafiyah yang melibatkan perbebatan inilah ramai penuntut ilmu yang telah terpedaya, dengan sangkaan bahawa mereka sedang mempelajari sesuatu yang penting yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang lain. Maka mereka menghabiskan masa mempelajari perkara-perkara yang sia-sia, dan kelak perkara-perkara itu jugalah yang mereka gemar ajarkan dan sebarkan kepada masyarakat sama ada di tempat-tempat pengajian mahupun di mimbar-mimbar masjid. Jika itulah yang umumnya diajar dan dituntut di sana sini, hendaklah kita khuatiri bahayanya kepada masyarakat kerana ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat.

Keghairahan terhadap pengajian ilmu-ilmu agama semata-mata tidaklah memadai. Ia hendaklah dipandu oleh ‘ilmu tentang ilmu’, iaitu ilmu yang menjelaskan kepada setiap penuntut tujuan ilmu dituntut, cabang-cabangnya dan keutamaan masing-masing, serta kadar yang dia perlukan untuk dirinya dari setiap ilmu. Alangkah baiknya kalau yang merancang dasar pendidikan kita memahaminya.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri

Scroll to Top