Prinsip Baik Suami Isteri

DALAM rancangan Bayan Linnas yang disiarkan oleh radio IKIMfm pada hari Selasa jam 5 petang, Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri membicarakan tajuk “Sifat Suami Isteri yang baik”. Beliau mengajak agar masyarakat semua bermuhasabah terhadap peranan yang telah dimainkan setakat ini samada sebagai seorang isteri, atau suami, ibubapa atau anak dan cuba memperbaiki ke arah yang lebih baik lagi. Mengimbau ketika mula-mula Sayyidina Ali RA meminang Sayyidatina Fatimah RA , Baginda SAW berpesan kepada Sayydina Ali dengan ungkapan:  “hiya laka ‘ala an tuhsina suhbataha” )al-Tabrani) yang bermaksud “beliau (Fatimah) milikmu, tetapi perlaku baiklah terhadapnya”. Konsep “melaksanakan hubungan dengan penuh kasih sayang dan ma’ruf” antara suami dan isteri dalam sebuah keluarga. Apabila kita berada dalam alam rumahtanggan, kita akan bertemu dengan dua suasanan yang berbeza. Pertama diri kita sendiri dan kedua, pasangan kita yang mempunyai sifat yang lama ketika dia hidup  keseorangan dulu tiba-tiba memulakan perkongsian hidup dengan kita, orang asing yang tidak pernah dia hidup bersama sebelum ini. Sudah pasti, jika tidak ditangani dengan betul akan berlaku kesukaran untuk menyesuaikan diri, mengharmonikan hidup dan adakalanya akan timbul konflik dalam rumahtangga. Bagaimanakah cara untuk kita menangani konflik rumahtangga tersebut? Maka pertama sekali hendaklah kita sentiasa bersangka baik terhadap pasangan kita dan jangan mempunyai buruk sangka (su’ dhan) kerana ia akan mengeruhkan keadaan. Jika didapati timbul sesuatu isu yang perlu diselesaikan, maka tanganilah ia ketika di peringkat awal lagi tanpa bertangguh kerana nanti ia akan menjadi semakin merebak dan kusut sehingga sukar untuk diselesaikan lagi. Ketiga, kita perlu membantu pasangan membuat perubahan ke arah yang lebih baik, bukan sekadar memarahi atau berleter sahaja. Kalau kita lihat Baginda SAW, banyak dibantu oleh para isteri seperti Sayyidatina Khadijah RA. Begitu juga Baginda SAW banyan membantu para isteri dalam urusan rumahtangga. Apabila kita berhadapan dengan sesuatu konflik, maka mulakan dengan perbincangan dan nyatakan secara jujur bagi mencari penyelesaian bukan mencari kesalahan orang lain. Bagi mengelakkan berlaku konflik di peringkat awal lagi, maka setiap pasangan perlulah mempunyai prinsip-prinsip hidup yang betul.

Apabila berbicara tentang  sifat, sikap, pegangan atau pendirian, inilah perkara-perkara yang membezakan antara manusia dan makhluk yang lain. Makhluk lain tidak mempunyai prinsip, tetapi manusia memiliki prinsip hidup. Sebab itulah disebut “mata al-rijal wa la tamut al-mawaqif” iaitu “seseorang itu mati, tetapi prinsipnya tetap hidup tidak mati”. Prinsipnya akan terus hidup dan disebut orang, walaupun orang yang mempunyai prinsip tersebut telah lama meninggal dunia. Prinsip yang baik adalah seumpama keretapi yang berjalan di atas landasannya yang betul tanpa tergelincir.

Dalam kehidupan ini kita pasti akan berdepan dengan pelbagai masalah, cubaan, rintangan dan ujian yang mungkin menyusahkan hidup kita. Namun bagi mereka yang mempunyai prinsip hidup yang jelas, segala ujian yang menimpa itu akan berjaya dihadapi tenang berkat pegangan hidupnya yang betul. Prinsip yang betul inilah yang kita harapkan dalam kehidupan berumahtangga suami isteri. Dalam sejarah banyak disebutkan kisah-kisah rumahtangga mereka yang telah berjaya melayarinya dengan cemerlang di sebalik segala ujian dan rintangan yang dihadapi dalam hidup mereka. Qudwah Hasanah atau suri teladan yang paling unggul sudah pastilah Baginda SAW ketika melayari hidupnya bersama para isteri Baginda, Ummahatul Mukminin RA.  Allah SWT pernah memerintahkan kepada Baginda SAW agar bertegas terhadap para isteri Baginda. Dalam al-Qur’an disebut, mafhumny: “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: \”Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut\’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik” (Al-Ahzab:28). Mengikut ahli tafsir Imam al-Maraghi, ayat ini menjadi dalil kepada Baginda dan para suami agar bertegas dengan para isteri sesuai dengan keadaan dan suasana masing-masing.

Sepasang suami isteri yang musafir melalui jalan laut, untuk pergi menunaikan haji tiba-tiba di tengah lautan itu, kapal tersebut dilanda gelombang, dan ribut dan hampir karam. Apabila suami mencari isterinya di tingkat bawah kapal, ditemui dalam keadaan menutup aurat sempurna lalu isterinya bertanya kepadanya: “Adakah kamu redha kepadaku, maka suaminya menjawab, ya”. Maka isteri tersebut puas lalu ditakdirkan Allah mati lemas dan meninggalkan dunia ini dalam keadaan ketaatan dan mendapat keredhaan suaminya hingga akhir hayatnya.  Isteri seperti ini sudah pasti ditempatkan Allah SWT dalam Syurganya yang luas. Terlalu banyak kisah-kisah yang menunjukkan mereka yang berprinsip dalam kehidupan ini, seperti isteri yang taat kepada suaminya, dan suami yang berperanan sebagai ketua keluarga, memberi nafkah dan kasih sayang secukupnya kepada ahli keluarganya. Dalam kehidupan sebagai suami isteri, akhirnya perkara yang paling penting sekali ialah tidak lupa untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT sepertimana yang dianjurkan dalam al-Qur’an dan disebut dalam al-Hadith, agar kita sentiasa mendapat pertolongan, perlindungan dan kekuatan rohani daripada Allah SWT.  Yang diharapkan akhirnya dalam rumahtangga ialah sebuah kehidupah berumahtangga yang mawaddah, rahmah dan sakinah. Moga-moga Allah SWT anugerahkan kepada kita semua.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 November 2017
\"\"
Scroll to Top