Imam Al-Nawawi (Bhgn 3)

SAAT tentera Tartar menyerang Baghdad, keadaan menjadi huru-hara dan bergolak. Ramai ulama dibunuh, kitab-kitab dibuang di dalam sungai. Imam An-Nawawi sebagai orang yang mengutamakan keilmuan, pengajaran fiqh, beliau telah menyaring, mengatur dan menyusun ilmu-ilmu agar ramai mendapat manfaat. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) di radio IKIMfm yang bersiaran pada hari Isnin jam 5 petang, al-Fadhil Ustaz Muhadir Hj. Joll berkongsi sambungan kisah Imam An-Nawawi dan memberi tumpuan mengenai sumbangan beliau dalam bidang keilmuan.

Ulama menyebut, Imam An-Nawawi terkenal dengan gelaran al-Munaqqih, orang yang menyaring pendapat-pendapat dalam Mazhab As-Syafie. Beliau juga terkenal dengan gelaran muhazzib, orang yang mengatur dan murattib, orang yang menyusun. Selain ilmu fiqh, Imam An-Nawawi juga hebat dalam ilmu hadith. Syarah beliau mengenai Sahih Muslim sangat hebat dan luar biasa sehingga dijadikan rujukan sehingga kini.

Sekalipun Imam An-Nawawi tidak sempat berkahwin dan tidak mempunyai zuriat. Namun beliau telah meninggalkan satu warisan yang hebat dari segi ilmu menerusi kitab-kitab yang hebat serta beliau mewarisi anak murid yang turut menjadi tokoh-tokoh ilmuan hebat yang ilmunya meluas ke seluruh dunia. Ini menjadi saksi keberkatan pada ilmu dan umurnya.

Semenjak usia 3o-an, beliau telah mengarang pelbagai jenis kita mencakupi pelbagai bidang. Antaranya beliau telah menulis kitab Al-Majmuk, sebuah kitab fiqh yang terkemuka dalam Mazhab As-Syafie. Kitab ini merupakan syarah kitab Al-Muhazzab karangan Imam Abi Ishak Al-Shairazi. Beliau telah menyiapkan kitab ini sehingga bab Riba’ sahaja yang mengandungi 9 jilid dan seterusnya syarah kitab ini disambung oleh dua ulama lain. Imam Ibn Katsir menyebut “sekiranya beliau sempat menghabiskan syarah kitab ini, maka tidak akan ada yang boleh menandingi penulisan beliau.”

Beliau juga telah mengarang kitab Raudhatul Talibin dan Minhaj al-Talibin. Kedua-dua kitab ini merupakan kitab fiqh yang banyak digunakan oleh para ulama dan penuntut ilmu. Ulama menyebut mengenai kitab Minhaj al-Talibin “sesiapa yang membaca kitab Minhaj ini, maka alimlah beliau dalam bidang fiqh.” Selain bidang agama, Imam An-Nawawi turut mengarang sebuah kitab yang member fokus kepada bahasa dan istilah-istilah yang tepat, kitab Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat. Bagaimanapun, kitab tersebut tidak sempat disiapkan sebelum beliau meninggal dunia.

Terdapat satu kitab hadith yang sering dirujuk sehingga kini telah ditinggalkan oleh Imam An-Nawawi dan menjadi warisan yang sangat berharga. Kitab Syarah Muslim ditulis oleh Imam An-Nawawi 2 tahun sebelum kematian beliau. Kitab ini merupakan antara kitab-kitab terakhir beliau dan mempunyai dua jilid. Ulama menyebut “Barangkali kitab ini adalah kitab yang paling baik ditulis dalam mensyarahkan Sahih Muslim yang sangat besar.”

Apabila menyebut kitab Riyadhus Solihin, pasti ramai yang mengenai dan pernah membaca kitab ini. Karya Imam An-Nawawi ini dilihat oleh para ulama sebagai kitab kedua yang mendapat tempat di hati pencinta ilmu setelah Al-Quran. Kitab ini menghimpunkan hadith-hadith Baginda Nabi SAW tentang adab Baginda, akhlak dan aspek pembersihan jiwa. Imam Nawawi sebagai orang yang sangat teliti dan hanya memilih hadith-hadith yang sahih sahaja untuk dimasukkan ke dalam kitab ini.

Sebagai seorang ulama yang sangat mencintai ilmu dan kuat beribadah kepada Allah SWT. Imam An-Nawawi juga telah mengarang sebuah kitab amalan, Al-Azkar. Kitab ini merupakan himpunan zikir-zikir, doa dan amalan-amalan harian. Kitab ini sekalipun kecil, namun besar manfaatnya sehinggakan ulama menyebut “jual rumah dan beli kitab ini”. Ini membuktikan bahawa penulisan dan segala kandungannya sangat bernilai untuk kita amalkan.

Kesungguhan dan keikhlasan Imam An-Nawawi dalam bidang penulisan sangat jelas sehingga kitab beliau digunakan oleh para ulama dan pencari ilmu dari seluruh dunia. Kitab Al-Arba’un Al-Nawawiyah merupakan kitab hadith dan setiap hadith asa dan kaedah agama telah dimasukkan ke dalam kitab ini. Kitab ini terdapat 42 hadith keseluruhannya.

Begitu besar sumbangan dan warisan yang telah ditinggalkan oleh Imam An-Nawawi kepada agama. Ketika meninggalnya Imam An-Nawawi di Nawa, kota Damsyik dan sekitarnya menjadi sedih. Kerana kesedihan itu, mereka telah menghidupkan malam-malam hari dan sedekahkan pahala amalan kepada Imam An-Nawawi. Benarlah apa yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami “beliau adalah wali Allah tanpa ada keraguan lagi dan beliaulah yang telah menyaringkan Mazhab As-Syafie itu dengan ijmaknya sekali.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 November 2017
\"\"
Scroll to Top