PUTRAJAYA, 16 Okt (IKIM) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir ke Kuliah Subuh Madani dan menyampaikan naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basri kepada ulama tersohor dunia Islam, Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafez, sebagai tanda sempurnanya salah satu inisiatif di bawah Projek 1 Juta al-Quran.
Penyerahan naskhah tersebut berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, selepas solat Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Putra, Abdul Karim Zakaria, disertai kira-kira 10,000 jemaah.
Majlis itu turut disusuli dengan Kuliah Subuh Madani oleh Al-Habib Umar yang membacakan kitab “Qomi’ al-Thugyan ‘ala Manzumah Syu’ab al-Iman” karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani, yang menghuraikan 77 cabang iman meliputi aspek akidah, akhlak dan syariah.
Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Malaysia, Yayasan Restu, Nasyrul Quran dan Darul Mustafa, Yaman, di bawah pimpinan Al-Habib Umar bin Hafez. Penerbitan mushaf ini melambangkan hubungan erat antara dua negara Islam itu dalam bidang ilmu, seni dan dakwah.
Menampilkan bacaan Qiraat Riwayat ad-Duri, mushaf ini antara sepuluh riwayat bacaan masyhur dalam tradisi ilmu al-Quran, dengan keunikan tersendiri pada sebutan dan kaedah bacaannya. Ia dihasilkan oleh lima ahli khat Yayasan Restu sejak tahun 2015, disempurnakan pada 2019, dan diterbitkan sepenuhnya pada tahun 2024.
Berukuran A5, mushaf berkenaan mempamerkan tulisan khat yang indah dengan hiasan seni Yaman yang menggambarkan kesatuan antara rohani dan estetika Islam.
Penerbitan Mushaf Tarim bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu dan seni Islam di peringkat global, malah memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan khazanah al-Quran dan warisan ilmu Islam melalui Projek 1 Juta al-Quran.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.