PM ANWAR DAPAT PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA, DINAMAKAN TOKOH MUSLIM KE-10 PALING BERPENGARUH DUNIA

KUALA LUMPUR, 30 Okt (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mencuri perhatian dunia Islam apabila dinamakan sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dunia dalam edisi 2026 The World’s 500 Most Influential Muslims, terbitan Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan.

Kedudukan terbaharu itu menyaksikan kenaikan lima tangga berbanding tahun sebelumnya (2025), yang meletakkan beliau di tempat ke-15. Ia sekaligus mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan beliau dan peranan Malaysia di pentas global.

Dalam senarai 50 tokoh teratas dunia Islam itu, Anwar berdiri sebaris dengan pemimpin berpengaruh lain seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menduduki tangga pertama, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud (kelapan) serta Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (ke-15).

RISSC turut merekodkan bahawa Anwar kini berada di tangga ketujuh dalam kategori pemimpin dan ahli politik Islam paling berpengaruh, naik dua anak tangga daripada kedudukan kesembilan tahun lalu. Kedudukan itu sekali gus mengatasi Prabowo yang berada di tempat ke-10 dan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi (ke-13).

Menurut RISSC, penilaian dibuat berdasarkan keupayaan seseorang tokoh membawa perubahan ketara dalam dunia Islam — sama ada dari segi budaya, ideologi, kewangan atau politik — dengan impak yang boleh dinilai sebagai positif atau negatif bergantung kepada konteks.

Dalam profil pengenalan Anwar, penerbitan itu menonjolkan peranannya dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja selepas beberapa hari pertempuran sempadan, di samping pendirian tegas beliau terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, mengukuhkan imej Malaysia sebagai pengantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan tersebut.

RISSC turut menyebut keberanian Anwar dalam menyuarakan sokongan kepada Palestin termasuk pertemuannya dengan pegawai Hamas, antaranya mendiang Ismail Haniyeh, yang pernah menerima kritikan dari pihak Amerika Syarikat.

Laporan itu turut memetik kenyataan tegas Perdana Menteri selepas catatan takziah beliau terhadap pembunuhan Haniyeh dipadam oleh platform media sosial:

“Biarlah ini menjadi mesej jelas dan tegas kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai alat rejim Zionis Israel yang menindas.”

Pengiktirafan oleh RISSC ini menambah lagi deretan penghormatan antarabangsa terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Islam yang berpegang teguh kepada prinsip keadilan, keberanian dan kesederhanaan dalam diplomasi global.

WhatsApp
Scroll to Top