KUALA LUMPUR, 19 Julai (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata langkah itu merupakan pendekatan yang tepat dalam memastikan pesalah, khususnya pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, dipertanggungjawabkan sepenuhnya bukan sahaja melalui hukuman penjara dan denda, malah dari sudut kewangan.
Menurut beliau, pindaan tersebut juga selari dengan usaha yang sedang digerakkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi meneliti pelaksanaan mekanisme diyat atau pampasan berasaskan Syariah bersama barisan mufti dan pakar perundangan sejak 11 Februari lalu.
Katanya, pihaknya bersedia menyumbang kepakaran bagi memastikan mekanisme pampasan yang bakal digubal bersifat adil, tidak mempunyai kelompangan undang-undang serta mampu melindungi hak keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung.
Beliau turut menegaskan bahawa tragedi kemalangan maut akibat kecuaian melampau seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah merupakan satu jenayah yang tidak boleh dikompromi.
Jelasnya, pindaan mandatori itu akan menjadi amaran keras bahawa undang-undang tidak lagi bertoleransi terhadap pesalah yang menyebabkan kehilangan nyawa di jalan raya, selain memastikan keadilan kepada mangsa dan waris dapat ditegakkan dengan lebih pantas tanpa perlu melalui proses tuntutan sivil yang panjang.
Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dijangka memperkukuh perlindungan kepada mangsa kemalangan dan meningkatkan tahap akauntabiliti pesalah, sekali gus memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan negara.




