PEMBUDAYAAN HADIS SAHAH AL-BUKHARI MEMBANTERAS AJARAN SESAT 

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah

Kajang, 19 Julai (IKIM) – Pembudayaan pengajian dan penghayatan Hadis Sahih al-Bukhari dikenal pasti sebagai pendekatan berkesan bagi membanteras ajaran sesat serta fahaman ekstremis di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kedudukan istimewa kitab berkenaan dalam tradisi keilmuan Islam menjadikannya medium strategik untuk menyatupadukan umat Islam.

“Hadis Sahih al-Bukhari disepakati oleh seluruh ulama tanpa sebarang khilaf sebagai kitab paling sahih selepas al-Quran. Ini adalah platform terbaik untuk menyatukan umat Islam di negara ini,” katanya pada Majlis Dirayah Sahih al-Bukhari Siri 1/2026 di sini, semalam.

Program Dirayah tersebut mengaplikasikan kaedah syarahan dan kupasan hadis secara berautoriti bagi melengkapkan tradisi Sama’, sekali gus memperkukuh kefahaman masyarakat berpandukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam pada itu,  program ini juga sebahagian daripada komitmen memartabatkan ilmu turath, dengan sasaran melahirkan 1,000 perawi hadis dalam kalangan pemegang tauliah, guru pondok, mahasiswa pengajian Islam, serta pendakwah menjelang tahun 2028.

Zulkifli menegaskan bahawa pembudayaan ilmu melalui guru dan kitab yang sahih secara langsung mampu membina benteng pertahanan akidah masyarakat daripada ancaman doktrin menyeleweng.

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya berdepan sebarang ajaran atau kandungan yang meragukan, terutamanya di platform media sosial.

“Kita mempunyai institusi rujukan yang sah seperti Jabatan Mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama Islam negeri. Segala kekeliruan berkaitan ajaran agama mestilah dirujuk segera kepada pihak berkuasa ini untuk tindakan bimbingan,” katanya.

Majlis tersebut menghimpunkan tokoh ulama dan pakar hadis antarabangsa, termasuk Sheikh Ibraheem Khaleel Al-Bukhari dari India dan Sheikh Mustafa An-Nadwi dari Mesir.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Datuk Prof. Dr. Farid Ravi Abdullah dan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Prof. Madya Dr. Adi Anuar Azmin.

WhatsApp
Scroll to Top