MALAYSIA BAKAL TERAJUI WACANA EKONOMI MANUSIAWI MENERUSI HEGD 2026

KUALA LUMPUR, 19 Julai (IKIM) – Malaysia bakal menjadi peneraju perbincangan antarabangsa mengenai pembangunan ekonomi berteraskan nilai kemanusiaan menerusi penganjuran Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 yang akan berlangsung pada 22 hingga 23 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Bertemakan “Reclaiming Humanity for Shared Prosperity”, wacana antarabangsa julung kali dianjurkan itu akan menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik serta tokoh pemikir dari dalam dan luar negara bagi membincangkan pendekatan baharu ke arah pembangunan ekonomi yang lebih adil, inklusif dan mampan.

Majlis perasmian HEGD 2026 akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala majlis penutup akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Program anjuran Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Yayasan Hasanah, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) serta beberapa rakan strategik lain termasuk Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

HEGD 2026 bakal menampilkan barisan tokoh antarabangsa termasuk sarjana Islam terkenal Prof. Dr. Jasser Auda, pakar ekonomi dunia Prof. Jeffrey D. Sachs, ahli ekonomi pembangunan Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram serta Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M, Prof. Tan Sri Dr. Osman Bakar, bersama pakar-pakar dari pelbagai bidang.

Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi merangkap Pengarah HEGD 2026, Prof. Datuk Dr. Saadiah Mohamad berkata sudah tiba masanya masyarakat dunia menilai semula ukuran kejayaan ekonomi yang bukan sekadar berdasarkan kekayaan, sebaliknya sejauh mana ia mampu meningkatkan kualiti hidup manusia.

Menurut beliau, konsep Ekonomi Manusiawi mengangkat nilai kemanusiaan sebagai teras dalam setiap keputusan ekonomi dengan menekankan aspek belas ihsan, keterangkuman, tanggungjawab dan kelestarian.

Sepanjang dua hari penganjurannya, peserta akan mengikuti ucaptama, sesi pleno, forum panel, pembentangan khas serta tiga landasan dialog yang memfokuskan kepada sektor perniagaan dan kewangan, belia serta pertubuhan masyarakat sivil. Perbincangan dijangka menghasilkan Resolusi HEGD mengenai Ekonomi Manusiawi sebagai panduan ke arah pembangunan ekonomi global yang lebih berperikemanusiaan dan mampan.

Penganjuran HEGD 2026 juga dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai platform utama dialog antarabangsa mengenai pembangunan ekonomi berasaskan nilai, sekali gus menyumbang kepada pembentukan dasar ekonomi masa depan yang meletakkan kesejahteraan insan sebagai keutamaan.

WhatsApp
Scroll to Top