KERAJAAN PERUNTUK RM15 JUTA PERKASA SEKOLAH PONDOK, AGAMA DI PERAK

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

PERAK, 19 Julai (IKIM) – Kerajaan memperuntukkan RM15 juta bagi memperkasa sekolah pondok dan sekolah agama di Perak, selain meluluskan RM300,000 kepada Sekolah Agama bagi Maahad Al-Ummah, Chemor sebagai komitmen berterusan memperkukuh institusi pendidikan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada komitmen kerajaan yang sebelum ini mengumumkan RM200 juta bagi pembangunan sekolah agama dan institusi pendidikan Islam di seluruh negara.

Beliau berkata, bantuan khas kepada Maahad Al-Ummah Chemor turut dipertingkatkan daripada permohonan asal sebanyak RM200,000 kepada RM300,000.

“Pada hari ini kita akan terus menambah peruntukan dan bantuan yang telah diumumkan untuk semua sekolah agama dan maahad di Perak. Tahun lalu kita meluluskan bantuan kepada 115 pondok di Perak, tetapi tahun ini kita tambah RM15 juta lagi untuk sekolah pondok dan agama di negeri ini yang masih memerlukan bantuan.

Bagi Maahad Al-Ummah Chemor pula, mereka mohon RM200,000, tetapi saya luluskan RM300,000 kerana sekolah ini amat dekat di hati saya,” katanya ketika merasmikan Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak (HIPSA) 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, penganjuran HIPSA 2026 mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkasa institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama menerusi kerjasama pelbagai agensi Hal Ehwal Agama serta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

Beliau berkata, pengumuman peruntukan RM15 juta kepada sekolah agama dan pondok di Perak serta RM300,000 kepada Maahad Al-Ummah membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memartabatkan pendidikan Islam di negara ini.

“Kerajaan memberi tumpuan dan bantuan sebaiknya kepada institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama. Pengumuman RM15 juta untuk sekolah agama dan pondok di Perak serta RM300,000 kepada Maahad Al-Ummah menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus memakmurkan dan mengimarahkan institusi pendidikan Islam di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan pembangunan sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh negara daripada RM150 juta tahun lalu kepada RM200 juta pada tahun ini, dengan agihan kepada setiap negeri dibuat mengikut keperluan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dalam pada itu, seramai 3,000 warga pondok, sekolah agama, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat menghadiri HIPSA 2026 yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama JAIPK, Institusi Kefaham Islam Malaysia serta agensi-agensi Hal Ehwal Agama serta pelbagai rakan strategik.

Program itu turut diisi dengan sesi Bicara Murobbi bertajuk “Peranan Ulama dan Umara Dalam Pembangunan Negara” serta sesi townhall yang bertema “Masa Depan Islam di Malaysia”

Sementara itu, Program ini turut memberi bantuan kepada keluarga memerlukan, penyerahan cek cura kepada sekolah agama dan pondok, Jualan Rahmah, reruai pameran agensi Hal Ehwal Agama serta persembahan nasyid oleh kumpulan UNIC.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Zamri Zainal Abidin dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki.

WhatsApp
Scroll to Top