ENAM AKTIVITI MENARIK UNTUK DITEROKAI DI TUNAMAYA TIOMAN BEACH & SPA RESORT

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

Sebut sahaja Pulau Tioman, pastinya terbayang hamparan pantai yang mendamaikan, bunyi deruan ombak serta keindahan alam semula jadi yang menjadi tarikan utama pelancong.

Namun, selain panorama yang memukau, pulau ini turut menawarkan pelbagai pengalaman santai yang sesuai dinikmati oleh pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

Terletak di Kampung Mukut, Tunamaya Beach & Spa Resort menjadi pilihan buat mereka yang mencari percutian lebih santai, jauh daripada kesibukan kawasan tumpuan pelancong.

Daripada aktiviti meneroka dunia bawah laut, mencuba permainan lasak sehinggalah menikmati hidangan bertemakan antarabangsa, pelbagai pengalaman menanti tetamu sepanjang berada di resort berkenaan.

1. Menikmati Keindahan Pantai dan Panorama Alam Semula Jadi

Kedudukannya yang lebih terpencil memberikan pengalaman percutian yang lebih privasi, sesuai untuk pengunjung yang ingin meluangkan masa bersama keluarga, pasangan atau sekadar berehat daripada rutin harian.

Resort yang mempunyai 54 bilik dengan kapasiti sehingga 140 tetamu itu menawarkan pilihan penginapan seperti Sea View, Garden View dan Rainforest View, membolehkan pengunjung memilih suasana mengikut keselesaan masing-masing.

Sama ada menikmati pemandangan matahari terbenam dari bilik penginapan atau bersantai berhampiran pantai, setiap sudut menawarkan pengalaman yang lebih dekat dengan alam.

2. Meneroka Dunia Bawah Laut

Bagi pencinta aktiviti marin, Pulau Tioman sememangnya terkenal dengan kepelbagaian hidupan laut serta ekosistem bawah air yang menarik untuk diterokai.

Pengunjung boleh mencuba aktiviti snorkeling atau selam skuba untuk melihat sendiri keunikan terumbu karang serta pelbagai spesies ikan tropika yang menghuni kawasan perairan sekitar pulau.

Pengalaman berada di bawah laut ini memberikan peluang kepada tetamu melihat keindahan alam yang tidak dapat dinikmati hanya dari pesisir pantai.

3. Menikmati Pengalaman Spa dan Relaksasi

Tetamu boleh memanjakan diri dengan pengalaman relaksasi menerusi perkhidmatan spa yang disediakan di resort berkenaan.
Dikelilingi suasana yang mendamaikan, rawatan urutan yang ditawarkan memberi peluang kepada pengunjung untuk merehatkan tubuh badan sambil menikmati detik ketenangan jauh daripada kesibukan harian.

Sama ada selepas aktiviti snorkeling, aktiviti rekreasi atau sekadar mahu meluangkan masa untuk diri sendiri, pengalaman spa menjadi pelengkap kepada percutian yang lebih menyeluruh di Tunamaya Beach & Spa Resort.

4. Mengisi Masa dengan Aktiviti Rekreasi dan Permainan

Bagi mereka yang gemar aktiviti lebih aktif, Tunamaya menyediakan pelbagai pilihan rekreasi seperti berkayak, memanah, mendaki bukit, bola tampar pantai serta aktiviti berkumpulan seperti treasure hunt, sukaneka dan pelbagai lagi.

Selain aktiviti luar, keluarga yang membawa anak-anak juga tidak perlu risau kerana resort ini menyediakan ruang permainan khas untuk kanak-kanak yang menawarkan aktiviti seperti mewarna, rock painting serta permainan Nintendo.

Bagi tetamu yang mahukan aktiviti santai bersama keluarga, terdapat juga bilik aktiviti yang dilengkapi permainan seperti Uno dan snooker.

Untuk tempahan berkumpulan melebihi 20 peserta, pihak resort turut menawarkan pakej aktiviti termasuk treasure hunt dan aktiviti team building yang dikendalikan oleh pasukan Tunamaya.

Selain itu, aktiviti malam pula tetamu turut dihiburkan dengan persembahan api yang mengujakan dan sesi karaoke yang meriah.

5. Menikmati Hidangan yang Pelbagai

Pengalaman percutian turut dilengkapi dengan sajian bertema yang menyajikan gabungan menu tempatan dan antarabangsa.

Antara tema hidangan yang ditawarkan termasuk Malaysian Odyssey, Lotus Blossom Feast, Mediterranean Souk dan Casino Royale – A French Affair.

Tetamu juga berpeluang menyaksikan sesi memasak secara langsung menerusi live cooking session, selain memilih sendiri hidangan makanan laut segar untuk disediakan mengikut cita rasa.

Suasana menjamu selera menjadi lebih menarik dengan pilihan mocktail dan minuman segar secara free flow yang disediakan sepanjang waktu makan.

6. Percutian Lebih Mudah Menerusi Pakej All Inclusive

Bagi pengunjung yang mahukan pengalaman lebih praktikal, pakej All Inclusive yang ditawarkan merangkumi penginapan selama tiga hari dua malam, sajian harian, minuman, aktiviti rekreasi serta pengangkutan feri terus ke resort.

Kemudahan itu membolehkan tetamu memberi tumpuan sepenuhnya untuk menikmati percutian tanpa perlu memikirkan urusan tambahan sepanjang berada di Pulau Tioman.

Dengan gabungan keindahan alam, aktiviti mesra keluarga, hidangan yang pelbagai dan kemudahan lengkap, Tunamaya Beach & Spa Resort menawarkan pilihan percutian yang sesuai untuk pasangan, keluarga mahupun syarikat yang menganjurkan program team building yang ingin meneroka sisi berbeza Pulau Tioman.

WhatsApp
Scroll to Top