IKIM SOKONG PINDAAN AKTA 333, PAMPASAN MANGSA KEMALANGAN PERLU DIWAJIBKAN

KUALA LUMPUR, 19 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris mangsa.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, institut itu menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menyifatkan pindaan tersebut sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Menurut beliau, hukuman berbentuk pemenjaraan dan denda semata-mata tidak semestinya mampu meringankan beban kewangan yang ditanggung mangsa atau waris, khususnya apabila kehilangan insan tersayang atau mengalami kecacatan kekal akibat kecuaian pihak lain.

Beliau berkata, mekanisme pampasan yang dicadangkan mampu memberikan pembelaan yang lebih menyeluruh kepada mangsa di samping memastikan pesalah dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatan mereka.

Dalam masa sama, IKIM turut menyambut baik usaha kerajaan untuk membangunkan mekanisme pampasan yang adil, telus dan berkesan dengan mengambil kira prinsip-prinsip Syariah menerusi penelitian terhadap pelaksanaan konsep diyat serta amalan terbaik dalam sistem perundangan negara.

Katanya, apa jua mekanisme yang diperkenalkan hendaklah bebas daripada sebarang kelompangan undang-undang serta mampu menjamin hak semua pihak.

Mengulas lanjut, beliau berharap pindaan itu dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab, sekali gus membantu mengurangkan kadar kemalangan akibat kecuaian serius seperti pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah serta lain-lain perlakuan berbahaya.

Tambah beliau, IKIM akan terus komited menyebarkan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan tanggungjawab bersama dalam kalangan pengguna jalan raya, selain bersedia bekerjasama dan menyumbangkan kepakaran bagi menjayakan usaha pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara.

WhatsApp
Scroll to Top