BANGI, 7 Jan (IKIM) – Pembangunan Ekonomi Islam Sedunia (WIED) menyasarkan nilai pelaburan dan peluang perdagangan melebihi RM500 juta menerusi penganjuran Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WIED, Datuk Seri Abdul Rani Osman berkata, persidangan itu dijangka menghimpunkan lebih 500 delegasi tempatan dan antarabangsa dengan penyertaan dari 18 negara, merangkumi pembuat dasar, pengawal selia serta pemimpin industri dari rantau ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Eropah dan pasaran halal baharu.

Menurut beliau, IHEC 2026 akan memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama industri halal termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, logistik halal, teknologi digital serta industri berasaskan kelestarian.
“Secara keseluruhannya, sasaran nilai perdagangan yang disasarkan adalah melebihi RM500 juta. Nilai ini bukan hanya dijana sepanjang tempoh persidangan, malah merangkumi kesinambungan perniagaan dan kerjasama strategik selepas acara ini,” katanya pada sidang media pengumuman IHEC 2026, di sini, hari ini.
Beliau menambah, persidangan itu akan berlangsung di sebuah hotel di Bangi dan turut dipancarkan secara maya ke lebih 30 negara, sekali gus memperluas capaian serta penglibatan pemain industri halal global.
Sementara itu, Penaung dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IHEC 2026, Tan Sri Dr Yusof Md Noor berkata, penganjuran persidangan berkenaan mencerminkan usaha strategik dan bersepadu bagi menyelaraskan dasar, memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memacu pertumbuhan ekonomi halal di peringkat global.

Menurut beliau, IHEC 2026 berhasrat meletakkan halal bukan sekadar sebagai piawaian industri, malah sebagai kerangka ekonomi dan etika yang menyeluruh.
“Ia juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global dengan menonjolkan kepimpinan negara dalam aspek integriti pensijilan, rangka kerja peraturan serta kerjasama antarabangsa,” katanya.
IHEC 2026 bakal merangkumi sesi pleno berperingkat tinggi, panel eksekutif, dialog dasar, pemadanan perniagaan serta jaringan strategik antara pemain industri dan pembuat dasar.
Majlis turut disertai Penolong Pengurus Berita & Advertorial IKIMfm, Hj. Mohd Faiz Othman bagi mewakili IKIM selaku rakan kerjasama serta rakan media penganjuran IHEC 2026.




