KUALA LUMPUR, 23 April 2026 (IKIM) — Malaysia terus memperkukuh ekosistem infrastruktur digital menerusi penganjuran Persidangan dan Pameran BICSI Asia Tenggara (SEA) Malaysia 2026 yang dijangka menjadi platform penting dalam memacu pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta memperkasa infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Majlis pra-pelancaran persidangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Azman Mohd Yusof, di sini hari ini.
Persidangan berkenaan akan berlangsung pada 21 dan 22 Julai depan di Sunway Resort Hotel, dengan fokus utama kepada pengukuhan keupayaan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya dalam menghadapi perkembangan pesat teknologi AI serta keperluan tenaga kerja mahir dalam industri.
Edisi kali ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran terdahulu di Johor Bahru pada 2025 serta edisi yang berlangsung di Vietnam awal tahun ini.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor ICT negara mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan sumbangan sebanyak RM451.3 bilion atau 23.4 peratus kepada ekonomi, selain menyediakan lebih 1.25 juta peluang pekerjaan.
Sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, pelaburan digital melebihi RM342 bilion telah diluluskan dan dijangka mewujudkan lebih 114,000 peluang pekerjaan baharu, majoritinya dalam bidang berkemahiran tinggi.
Mengulas perkembangan itu, Azman menegaskan keperluan mendesak untuk membangunkan tenaga kerja masa hadapan yang bukan sahaja mencukupi dari segi jumlah, tetapi juga berkualiti dan relevan dengan keperluan industri.
“Rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan kemahiran, pensijilan dan pendedahan yang tepat bagi memenuhi keperluan landskap digital yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh piawaian industri serta memperluas akses kepada pensijilan antarabangsa seperti BICSI bagi memastikan kualiti bakat tempatan kekal kompetitif di peringkat global.
Selain itu, kerjasama erat antara pemain industri, institusi latihan dan pembuat dasar disifatkan penting dalam memastikan pembangunan kemahiran sentiasa selari dengan keperluan pasaran, di samping menangani isu ketidakpadanan kemahiran serta menyokong mobiliti tenaga kerja.
Persidangan ini dianjurkan oleh Tecnoviq Learning Academy (TECLA), rakan gabungan BICSI Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif BICSI Asia Tenggara, Garies Chong berkata pihaknya komited untuk terus menyokong kemajuan industri ICT melalui pendekatan kolaboratif serantau.
“Usaha kami tertumpu kepada peningkatan standard industri, pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta pengukuhan kerjasama serantau sebagai asas kepada ekosistem ICT yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Majlis pra-pelancaran itu turut menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Invest Selangor, Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) dan Cyberview.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan PIKOM serta penajaan daripada syarikat antarabangsa seperti Softing AG, SENKO Advanced Components, OneSystems Technologies dan Datwyler AG.
Dalam pada itu, penganjur memaklumkan peluang penajaan masih terbuka kepada syarikat yang berminat untuk menyertai sebagai rakan strategik bagi menjayakan persidangan berkenaan.




