Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 23 April 2026 (IKIM) – TV AlHijrah meneruskan komitmennya sebagai penyiar kandungan Islam utama negara dengan membawakan pelbagai pengisian sempena musim Haji 1447H, termasuk siaran langsung dari Tanah Suci bagi mendekatkan masyarakat dengan pengalaman ibadah tersebut.
Antara pengisian yang diketengahkan ialah penyampaian Khutbah Arafah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan kepada jemaah haji Malaysia ketika wukuf di Arafah yang merupakan kemuncak dalam ibadah haji.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata umat Islam perlu menghayati Hari Arafah dengan berzikir mengingati Allah dan berharap khutbah kali ini akan memberi kesan yang mendalam kepada jemaah haji Malaysia.
“Kita akan menghidupkan Hari Arafah pada 26 Mei melalui zikir, selain mengadakan siaran langsung khutbah Arafah. Saya juga berasa berdebar kerana terpilih untuk menyampaikan khutbah pada tahun ini. Moga-moga ia menjadi antara khutbah Arafah yang paling berkesan dalam sejarah,” katanya dalam sidang media Aidiladha di Saloma Kuala Lumpur di sini hari ini.
Detik penting tersebut turut disiarkan secara langsung ke Malaysia menerusi TV AlHijrah serta platform digital rasmi termasuk Facebook dan TikTok sekitar jam 7 malam waktu tempatan.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun berdepan krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat, Malaysia mencatat komitmen tinggi dalam kalangan jemaah haji apabila tiada seorang pun yang menolak untuk menunaikan ibadah tersebut tahun ini keadaan itu mencerminkan tawakkal tinggi rakyat Malaysia.
“Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara negara dengan pengurusan haji terbaik di dunia, termasuk menerima Diamond Award tahun lalu. Beliau turut memaklumkan negara dijangka menerima pengiktirafan yang sama pada tahun ini, sekali gus mencerminkan kecemerlangan sistem pengurusan haji negara yang membanggakan,” katanya.
Bersempena Aidiladha, TV AlHijrah turut menyusun pelbagai pengisian sepanjang musim Haji 1447H, termasuk siaran langsung Khutbah Arafah, program khas Peristiwa Hari Tasyrik, rancangan pagi “Assalamualaikum” dengan segmen haji, serta laporan harian Ber




