SIRACUSA, 23 April 2026 (IKIM) — Misi kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla memasuki fasa baharu apabila armada tersebut berkembang sebanyak 50 peratus susulan penyertaan puluhan bot tambahan di Itali, sekali gus memperkukuh usaha membawa bantuan ke Gaza.
Penumpuan armada yang berlangsung di Marina di Siracusa hari ini menyaksikan penyertaan 25 bot baharu dari pelbagai lokasi termasuk Barcelona dan beberapa kawasan di Itali.
Dengan penambahan itu, jumlah keseluruhan armada kini melepasi saiz keseluruhan misi tahun lalu, mencerminkan peningkatan penyertaan antarabangsa serta tekanan global yang semakin memuncak terhadap sekatan ke atas Gaza.
Penganjur menyifatkan pertemuan armada di Siracusa sebagai satu pencapaian penting dari segi logistik dan juga mesej politik, menandakan bahawa gerakan tersebut terus berkembang, menyesuaikan strategi dan bergerak ke hadapan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, flotila berkenaan menegaskan bahawa penambahan kapal bukan sahaja meningkatkan kekuatan fizikal misi di laut, malah memperluas sokongan antarabangsa serta memperkukuh solidariti merentas sempadan.
“Misi ini terus berkembang dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain, memperkukuh jaringan kerjasama serta meningkatkan kesedaran global terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing,” menurut kenyataan itu.
Program yang berlangsung di Marina pada jam 5 petang waktu tempatan itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk ucapan pemimpin gerakan, sesi temu bual bersama peserta antarabangsa serta persembahan kebudayaan yang mencerminkan solidariti global.
Antara tokoh yang dijadual berucap termasuk Maria Elena Delia, Tony La Piccirella, Yazan Eissa, Sümeyra Akdeniz Ordu, Maimon Herawati dan Muhammad Nadir Al-Nuri.
Turut serta ialah wakil organisasi antarabangsa seperti Greenpeace, Open Arms dan Banca Etica.
Global Sumud Flotilla digerakkan sebagai usaha berterusan yang berkembang secara berperingkat merentasi Laut Mediterranean, dengan setiap persinggahan menambah kekuatan dari segi penyertaan, koordinasi dan liputan antarabangsa.
Penganjur menegaskan bahawa misi ini akan terus bergerak ke hadapan dengan dua lagi pelabuhan dijangka menjadi persinggahan seterusnya sebelum meneruskan perjalanan ke Gaza.
“Ketika armada ini meninggalkan Itali dengan kekuatan yang lebih besar, ia membawa mesej jelas bahawa misi ini sedang mara dan tidak akan dihentikan,” menurut kenyataan tersebut.




