ABIM SERU ELAK POLEMIK LEVI SELAT MELAKA, KEKALKAN KESTABILAN GLOBAL

KUALA LUMPUR, 23 April (IKIM) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar sebarang cadangan mengenakan levi ke atas kapal di Selat Melaka diteliti secara berhati-hati bagi mengelakkan polemik baharu yang boleh menjejaskan kestabilan laluan perdagangan global.

Menurut ABIM, Selat Melaka merupakan laluan strategik dunia yang mengendalikan kira-kira satu perempat perdagangan global, justeru sebarang gangguan boleh memberi kesan besar kepada ekonomi antarabangsa termasuk peningkatan kos dan ketidaktentuan pasaran.

Dalam kenyataan itu, ABIM menegaskan bahawa sebarang keputusan perlu dibuat secara konsultatif dan berasaskan konsensus antarabangsa, selaras dengan prinsip undang-undang laut serta tidak bersifat unilateral atau membebankan negara pengguna.

ABIM turut menggesa perbincangan dilakukan secara konstruktif antara negara pesisir melalui platform seperti ASEAN serta menekankan peranan proaktif Malaysia dalam mempertahankan kebebasan pelayaran.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dalam keadaan geopolitik tidak menentu, membuka polemik baharu hanya akan menjejaskan keyakinan global terhadap kestabilan laluan perdagangan utama dunia.

Sehubungan itu, ABIM menyeru semua pihak mengutamakan dialog, keadilan dan tanggungjawab bersama demi memastikan Selat Melaka kekal aman, stabil dan bebas.

WhatsApp
Scroll to Top