Persiapan Untuk Ramadan

DALAM rancangan Topik Jumaat di radio IKIM pada Jumaat lepas bersama Sheikh Mohamed Aslam dari Birmingham United Kingdom bercakap tentang “Aiming for an Awesome Ramadan” beliau memulakan dengan menyebut hadith yang dikatakan daripada Baginda SAW yang berbunyi:  “Wahai Allah, berkatilah Rejab, berkatilah Syaaban dan sampaikanlah aku ke Ramadan” (HR Al-Bayhaqi). Sheikh Aslam mengajak untuk meneliti gaya doa Nabi SAW, kenapa di dua bulan Nabi SAW memohon agar diberkati tetapi untuk Ramadan, Baginda SAW sekadar mohon “disampaikan”. Para ulama menjelaskan bahawa Baginda SAW memohon keberkatan di bulan Rejab dan keberkatan di bulan Syaaban manakala di bulan Ramadan memohon “disampaikan” kerana bulan Ramadan sememangnya bulan yang setiap saat telah diberkati oleh Allah SWT.  Setiap masa siang, malam, setiap saat dan ketika bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan.  Inilah juga bulan yang manusia digalakkan mempunyai harapan yang tinggi. Bulan di mana kita boleh berdoa dan mengharapkan Allah SWT memanjangkan usia kita, memohon Allah memurahkan rezeki.

Bulan ini juga bulan takwa sepertimana disebut dalam Surah al-Baqarah. Ramadan ini mempunyai bilangan hari yang khusus samada 29 atau 30 hari sahaja dalam setahun oleh itu kita hendaklah mengambil kesempatan kerana bulan ini akan berlalu dengan pantas dan amat rugilah orang yang tidak mengambil kesempatan di bulan yang barakah ini. Beliau memberi misalan seorang yang akan mengembara untuk perjalanan jauh, beberapa hari sebelum perjalanan jauh tersebut kita sepatutnya telah membuat senarai semak “check-list” apakah keperluan yang perlu diambil untuk perjalanan jauh tersebut dan bukannya beberapa jam sebelum perjalanan. Begitu juga dengan kedatangan Ramadan, kita perlu membuat senarai semak persiapan-persiapan yang perlu kita bersedia sebelum kemunculan Ramadan.  Inilah sikap pengembara yang baik dan bersedia.

Beliau seterusnya menyebut pesanan Saidina Aisyah RA bahawa Baginda SAW berpuasa paling banyak selain di bulan Ramadan ialah di bulan Syaaban. Dan Baginda SAW apabila ditanya kenapa Baginda banyak berpuasa di bulan Syaaban, lalu Baginda SAW menjawab bahawa inilah bulan yang sering diabaikan oleh manusia dan inilah bulan Baginda SAW mahu mempersiapkan dirinya untuk menempuh Ramadan.

Di kalangan para Sahabat RA dan Solafus Soleh, mereka membahagikan setiap tahun kepada dua bahagian. Enam bulan pertama hingga Ramadan, mereka beribadat dan berdoa kepada Allah SWT agar disampaikan kepada bulan Ramadan, dan untuk enam bulan berikut selepas Ramadan mereka berdoa agar Allah SWT menerima amalan mereka di bulan Ramadan.  Ramadan.

Di bulan Ramadan, kita diuji oleh Allah SWT agar menjadi seorang yang sabar. Walaupun makanan dan minuman kita miliki dan halal, namun kita tidak dibenarkan makan di siang hari. Begitu juga suami isteri walaupun di bulan-bulan lain perhubungan mereka halal di siang hari, namun di bulan Ramadan mereka perlu bersabar dan kerana kesabaran yang mereka tunjukkan ini demi mematuhi titah perintah Allah SWT, maka Allah berikan ganjaran yang besar sepertimana disebut dalam sebuah hadith:  “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya… (HR Bukhari dan Muslim). Ganjaran kepada orang yang ikhlas berpuasa ini tiada had dan hanya Allah SWT yang memberi ganjaran yang setimpalnya dengannya. Banyak hadith-hadith yang menyebut tentang ganjaran yang Allah SWT berikan kepada hambanya yang berpuasa dan menghidupkan malam-malam Ramadan termasuk menghapuskan dosa-dosa.

Bulan Ramadan juga bulan al-Qur’an sepertimana Firman Allah SWT, mafhumnya: “bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk dan pembeda antara haq dan batil” (al-Baqarah 2:185). Para ulama menyebut tiada bulan lain yang dikaitkan dengan kemuliaan al-Qur’an melainkan bulam Ramadan. Ini menunjukkan betapa bulam Ramadan bulan yang sangat mulia kerana al-Qur’an diturunkan di bulan ini. Oleh kerana itu setelah kita menginsafi bahawa Ramadan ini bulan al-Qur’an, maka  sewajarnya kita menghadapi Ramadan dengan penuh persiapan dan menghidupkan Ramadan dengan membaca al-Qur’an. Allah SWT turut menyebut bahawa orang yang menemui bulan Ramadan yang diturunkan di dalamnya al-Quran maka hendaklah dia berpuasa. Lihatlah betapa hebatnya al-Qur’an yang diturunkan bukan sahaja ia mampu menghidupkan hati-hati dan jiwa manusia, tetapi ia juga mampu menghidupkan jasad yang membaca al-Qur’an. Dan oleh kerana itu, para Solafus Soleh begitu menumpukan membaca al-Qur’an setiap hari siang dan malam membaca al-Qur’an lantaran itu dikatakan Imam Abu Hanifah mengkhatam al-Qur’an sebanyak 62 kali sepanjang Ramadan, dan begitulah amalan-amalan para imam dan ulama muktabar yang lain.

Dikatakan jika sekiranya seseorang yang menunggang haiwan untuk satu perjalanan yang jauh dan berzikir sepanjang perjalanan tersebut, para ulama mengatakan bagaimana ia membantu memudahkan haiwan tersebut dan meringankan perjalanannya. Bayangkan jika seorang itu membaca dan yang mendapat manfaat adalah haiwan tunggangannya, apakah pula manfaat yang diperoleh oleh si pembaca itu sendiri. Sudah pasti orang yang membaca itu mendapat manfaat yang lebih besar. Begitulah kelebihan membaca al-Qur’an bukan sahaja diberikan pahala oleh Allah SWT, tetapi turut menghidupkan hati-hati dan jasad si pembaca. Moga-moga kita menjadi di kalangan mereka yang mendapat syafaat daripada al-Qur’an di Akhirat kelak kerana kerap membacanya ketika di dunia dahulu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Mei 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top