KUALA LUMPUR: Pemimpin politik negara ini perlu berhenti menggunakan politik sempit dengan memainkan isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R), semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata terdapat segelintir pemimpin politik yang gemar bertindak mengapi-apikan sentimen 3R, sedangkan mereka sepatutnya perlu berperanan sebagai ejen perpaduan dan memupuk toleransi antara kaum serta agama.
“Jangan main dengan 3R ini, terlalu sensitif dan boleh bawa porak peranda tapi pemimpin ini, terutama pemimpin politik, menggunakan politik sempit sebab nak dapatkan pengaruh.
“Akhirnya, jika mereka jadi kerajaan pun, mereka akan ambil konteks pendekatan kesederhanaan juga kerana kita tidak boleh lari daripada menjadi sebuah kerajaan tanpa adanya penerimaan daripada semua kaum.
“Sebab itu, pemimpin politik ini mesti bercakap benar, jangan mengapi-apikan kerana akhirnya, bukan saja masyarakat bergaduh tapi negara akan runtuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Podcast BH: Borak Harini, dengan tajuk “Perpaduan Kaum: Bukan Sekadar Slogan”. Panel lain ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.

Podcast Borak Harini dihoskan Wartawan BH, Zanariah Abdul Mutalib.
Mohamed Azam berkata, dengan pelbagai insiden yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama sejak kebelakangan ini, masyarakat negara ini dilihat masih kurang kefahaman mengenai agama dan budaya kaum lain.
Mengecewakan, selepas 68 tahun Merdeka masih timbul isu perkauman
Ia sesuatu yang mengecewakan kerana selepas lebih 68 tahun merdeka dan menjalani kehidupan dalam kepelbagaian, perkara seumpama itu masih berlaku.
“Saya melihat kita tidak faham sejarah, latar belakang agama dan budaya itu. Mungkin pada 1960-an, 1970-an, kita tidak ada isu tidak faham ini kerana belajar dalam satu sekolah, kecuali di sekolah vernakular, yang mana kita bergaul pada waktu rehat dan bermain.
“Orang Islam dan bukan Islam, perlu saling mengiktiraf kewujudan agama masing-masing. Bahasa yang digunakan juga jangan kasar walaupun orang kata apa salahnya?
“Sebagai contoh, kita (tak) gunakan perkataan babi, itu kasar, sebaliknya gunakan khinzir. Selain itu, orang bukan Islam tidak suka kita cakap “kafir”, tapi kita perlu cakap yang bukan Islam.
“Ini perungkapan yang boleh digunakan. Kenapa kita nak gunakan bahasa yang kasar seperti kita tidak hidup dalam kepelbagaian, seperti ia baru wujud sehari dua?” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Azam menyarankan pengisian majlis agama di masjid dan surau perlu memberi penekanan kepada kepentingan mendidik umat Islam berkaitan kepelbagaian kaum dan agama, serta hidup bersatu-padu.
“Jika boleh, khutbah dari semasa ke semasa perlu ditanam dengan tajuk mauduk ini. Kita tahu ada Perlembagaan Persekutuan, penerimaan tiga etnik terbesar sebelum merdeka, kita iktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak orang Melayu dan pribumi serta kedudukan bukan Melayu.
“Apabila pemimpin agama memberi kuliah, mesti ditanamkan juga input bagaimana untuk kita hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya.
IKIM rumus Piagam Harmoni Malaysia
Selain itu, beliau memaklumkan, IKIM kini di peringkat akhir untuk menyiapkan Piagam Harmoni Malaysia, yang akan menjadi pelengkap kepada peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara berkaitan perpaduan kaum.
“Kita nak ambil pendekatan fiqh al-ta’ayush (fiqh dalam hubungan sosial dan interaksi antara masyarakat berbeza etnik dan agama) dalam kehidupan harmoni.
“Kita menyenaraikan apa yang perlu diterap dan dibuat serta dilarang,” katanya.
Sumber : Berita Harian