BANGI, 7 Julai (IKIM) – Persidangan Global Kesihatan Mental Muslim (GMMHC) 2025 membuka tirainya hari ini dengan menekankan kepentingan pendekatan yang menyeluruh berasaskan iman dan sains dalam menangani isu ketagihan serta kesihatan mental dalam komuniti Muslim.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata Islam memandang serius isu kesihatan mental yang tidak asing lagi dalam masyarakat serta menjadi perkara biasa yang dibincangkan di pejabat mahupun di rumah dan pendekatan Islam diambil bagi menangani isu ini.

“Islam tidak hanya menumpukan kepada gejala semata-mata, tetapi berusaha memupuk kesejahteraan menyeluruh yang selari dengan panduan Ilahi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan GMHHC 2025 mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan di sini hari ini.
Mohamed Azam berkata persidangan ini merupakan platform penting yang menggabungkan keimanan, kerohanian, sains dan sokongan komuniti yang mana Islam menawarkan prinsip yang mendalam dalam proses penyembuhan, yang disempurnakan dengan pendekatan psikologi dan perubatan kontemporari, membentuk satu model pemulihan dan ketahanan yang selari dengan agama.

Beliau dalam pada itu turut berkongsi peranan yang dimainkan oleh IKIM yang melihat isu kesihatan mental ini dengan lebih serius menerusi persidangan oleh kalangan pakar berkaitan, simposium dan kajian yang telah dijalankan termasuk penerbitan ilmiah berkaitan isu kesihatan mental ini.
“Melihat kesihatan mental melalui lensa Maqasid al-Shariah, Usul al-Fiqh, dan Qawaid Fiqhiyyah menjadikan usaha ini bukan sekadar tanggungjawab sosial atau perubatan, tetapi satu ibadah dan kewajipan demi kebaikan individu dan umat seluruhnya,” tambah beliau.
Persidangan dua hari itu mengumpulkan pakar dalam pelbagai bidang berkaitan dari dalam dan luar negara dengan penyertaan 19 negara terlibat antaranya dari Amerika Syarikat, Sweeden dan Indonesia.

Pada majlis tersebut, sebanyak 9 buah buku turut diperkenalkan dalam tema kesihatan mental antaranya Model Terapi Taubat Terpimpin; Kaunseling Penagihan Dadah; dan Preventing Cybersex Addiction.
Turut hadir Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA), Datuk Dr. Abdul Halim Mohd Hussin; Profesor di Stanford University Amerika Syarikat, Prof. Dr. Rania Awaad; dan Pengarah GMMHC 2025, Dr. Engku Mardhiah Engku Kamarudin.
