IKHLAS adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah SWT dan keikhlasan jugalah yang menjadi asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan yang dilaksanakan oleh setiap umat islam diterima Allah SWT ataupun sebaliknya. Pendek kata, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan atau kebahagiaan individu di dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman “Padahal mereka hanya diperintahkan menyembah Allah, dengan ikhlas menaati-Nya semata-mata karena (menjalankan) agama dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar)” (Surah al-Bayinnah, ayat 5). Dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di radio IKIMfm pada Isnin lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menyatakan bahawa keikhlasan adalah asas penilaian di sisi Allah SWT sama ada amalan dilaksanakan setiap Muslim diterima oleh Allah atau sebaliknya. Maknanya, keikhlasan menjadi penentu kejayaan dan kebahagiaan individu tersebut di dunia dan akhirat. Apabila kita ikhlas dalam menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Islam, kerja itu akan menjadi mudah kerana orang yang ikhlas sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SWT kerana mereka melakukan sesuatu kerja bukan untuk dipuji oleh manusia. Tetapi, kerja-kerja itu dilakukan kerana perasaan tanggungjawab dan takut kepads azab Allah SWT sekiranya tidak dilakukan segala amanah Allah SWT. Kerja yang dimaksudkan di sini termasuk tugas kita sebagai seorang suami, mahupun isteri, si suami berkerja untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, si isteri pula menjalankan tugas sebagai seorang isteri untuk suami dan anak-anaknya.
Menurut Muhammad, terdapat beberapa seni yang perlu diambil perhatian apabila melibatkan soal keikhlasan bagi menjamin kelangsungan sesebuah rumahtangga . Pertama, bersifat ikhlas dengan tidak menafikan hak sebagai suami dan isteri. Misalnya dalam urusan pemberian nafkah. Walaupun si isteri tidak menyebut tentang kehendaknya untuk mendapat nafkah, namun demikian ia merupakan kewajipan yang mesti ditunaikan oleh suami secara ikhlas. Tanggungjawab memberi nafkah diamanahkan kepada ketua keluarga dan suamilah yang memikul tugasan tersebut serta wajib baginya menjaga kebajikan isteri dan anak-anaknya. Konsep berkenaan dibentuk berasaskan kepada hujah dari ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah yang berkaitan. Antaranya yang terpenting ialah yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”(Surah al-Nisaa’, ayat 34). Seterusnya, bersifat ikhlas dengan tidak menafikan kemanusiaan. Dalam satu hadis, telah disebut bahawa ‘Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia maka dia tidak bersyukur kepada Allah\”. Oleh itu, apabila kita menerima atau memperoleh kebaikan daripada seseorang hendaklah kita berterima kasih dengan segala bentuk pujian dan penghargaan, Jadilah sebagai seorang mukmin yang sejati. Berterima kasihlah dalam segala hal, apabila diberi hadiah maka berterima kasihlah, juga berterima kasihlah kepada setiap yang berjasa dalam hidup kita,
Seterusnya, apabila kita hendak mempamerkan sifat ikhlas kepada pasangan , ia bukan bermakna kita tidak digalakkan untuk bercakap mengenai perbuatan yang dilakukan. Sebaliknya , pasangan suami isteri boleh memilih sama ada untuk bercakap atau tidak bercakap mengenainya. Ia memerlukan individu itu berinteraksi dengan pasangannya agar sesuatu perkara itu difahami dengan jelas dan untuk tujuan ianya disebarkan. Di samping itu, bagi mengukuhkan perhubungan suami isteri agar terus kekal bahagia, mereka juga perlu memperbetulkan persepsi bahawa pasangan tidak boleh menunjuk perbuatan yang menggambarkan sifat iklhlasnya. Misalnya jika suami tersebut menyatakan keikhlasannya memberi suatu hadiah kepada isterinya, maka isteri tersebut harus menerima pemberian ikhlas tersebut. Situasi ini secara tidak langsung , memberi satu contoh teladan yang baik apabila anak-anak pasangan itu tadi melihat sifat ikhlas yang terpancar daripada ayah dan ibu mereka .
Sesungguhnya, memiliki sikap ikhlas dianjurkan dalam Islam dan ia disifatkan sebagai salah satu sikap terpuji yang dicintai oleh Allah. Harus difahami oleh pasangan suami isteri bahawa ikhlas tidak bermaksud pasangan dibenarkan untuk bercakap dalam semua perkara. Antaranya jika perkara tersebut boleh menjurus kepada kemudaratan dan permusuhan, ianya tidak digalakkan. Selain itu, perkataan-perkataan yang berunsur negatif dan melukakan pasangan harus dielakkan . Akhir sekali, tidak sesekali membuka keaiban pasangan . Pandanglah yang baik, nescaya pantulannya pun baik juga. Insafilah diri ini manusia, tidak akan pernah sempurna. Tidak pernah selamanya baik dan tidak pernah selamanya suci dari dosa.Peliharalah aib orang lain, bukan untuk mengagungkannya tetapi untuk memelihara diri kita sendiri.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Mac 2017