AL-QURAN ibarat taman bunga di hati kita. Apabila kita melalui taman-taman bunga sudah pasti kita akan menghidu dan menyentuh bunga-bungaan yang indah. Kita juga pasti akan berada di situ lebih lama kerana udaranya lebih segar dan nyaman. Begitulah ibaratnya Al-Quran. Sekalipun kita sering membaca ayat yang sama, ia pasti menjanjikan pengalaman dan perasaan yang berbeza. Segar dan mendamaikan.
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi tentang hikmah kisah Nabi Adam AS di dalam Al-Quran. Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran pada hari Isnin minggu lalu, 5.15 petang di radio IKIMfm, Ustaz Syari turut menyebut, apabila dikaji dengan teliti kisah Nabi Adam AS, terdapat 7 surah yang menceritakan tentang kisah Nabi Adam AS dalam pelbagai sudut babaknya.
Kisah Nabi Adam AS mempunyai tiga perkara. Yang pertamanya apabila Allah SWT menceritakan tentang Nabi Adam AS, pastinya Allah SWT menceritakan tentang syurga dan bagaimana keadaan syurga yang di dalamnya ada Nabi Adam AS. Yang kedua, apabila kita membaca dan mengkaji tentang surah yang menyebut kisah Nabi Adam AS, pasti kita akan menemui kisah proses ketaatan Nabi Adam AS serta cabaran yang perlu dilalui. Manakala yang ketiga, adalah cerita mengenai Nabi Adam AS telah melakukan sesuatu yang tidak disengajakan iaitu satu dosa daripada pohon yang terlarang lalu Nabi adam AS memohon ampun kepada Allah SWT.
Pasti kita akan merasa pelik kenapa tidak diceritakan tentang kisah Nabi Adam AS ketika di atas muka bumi ini.
Setiap kisah di dalam Al-Quran, Allah SWT telah tetapkan pengajarannya agar mempunyai kaitan dengan hati, jiwa dan jati diri supaya yang membaca kisah-kisah Al-Quran ini akan tersentuh jiwa dan hati mereka.
Apabila dalam kehidupan kita terdapat musibah dan ujian yang melanda. Hayati dan renungilah kiah-kisah Nabi yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran kerana kisah-kisah mereka, adalah kisah insan yang menerima pelbagai musibah dan bagaimana mereka bertindak balas dengan bermacam ujian yang hadir.
Ustaz Syaari menceritakan tentang kisah Nabi Adam AS dan mengungkapkannya tentang kisah ‘Perjalanan Seorang Khalifah’. Dalam proses untuk mentaati perintah Allah SWT, Nabi Adam AS juga telah ditipu oleh syaitan dan iblis. Allah SWT membawakan kisah bagaimana Nabi Adam AS diperdaya oleh syaitan mengenai pohon yang terlarang. Ini kisah tentang betapa sukarnya mentaati perintah Allah SWT.
Allah SWT membawakan kisah ini di dalam Al-Quran bukan satu kisah yang sia-sia. Sukar untuk kita dapati kisah di dalam Al-Quran menceritakan iblis menyerang seorang Nabi. Inilah gambaran cerita tentang kita. Kita ingin taat kepada Allah SWT serta tidak mahu mendekati bahkan tidak mahu melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Tetapi apakah sikap yang perlu kita ambil apabila kita telah melakukan kesalahan. Maka ambillah kisah Nabi Adam AS sebagai sikap seorang mukmin. Jangan kita ambil sikap iblis yang berbangga dengan dosa. Sebaliknya Nabi Adam AS beristighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT atas dosa yang beliau lakukan.
Cerita Nabi Adam AS mendefinisikan tentang insan yang bermaksud lupa. Seorang yang mudah lupa. Nabi Adam AS terlupa janjinya kepada Tuhannya. Cerita Nabi Adam AS tentang khalifah dan kepimpinan dikisahkan di dalam Surah Al-Baqarah ketika Nabi Muhammad SAW memulakan proses kepimpinan Baginda di Madinah. Kisah Nabi Adam AS di dalam Surah Al-Baqarah ini seolah-olah seperti sinopsis kisah perjalanan Nabi Adam AS. Enam surah yang lain mempunyai tema dan plot yang berbeza berlaku kepada Nabi Adam AS dan merupakan surah yang turun kepada Nabi Muhammad SAW ketika berada di Makkah.
Sebagai contoh, perihal kepimpinan yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah menerusi sebahagian maksud ayat 30 surah Al-Baqarah: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; \”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi\”.
Contoh lain, Allah SWT memberikan ilmu kepada Nabi Adam AS untuk melengkapkannya sebagai khalifah. Menerusi Surah Al-Baqarah ayat ke-31 yang bermaksud : Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: \”Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar\”.
Kita tidak akan mendapati babak Nabi Adam AS diajarkan tentang ilmu menerusi surah lain. Oleh kerana Surah Al-Baqarah adalah tentang kepimpinan, maka seorang pemimpin perlu memiliki ilmu. Malah bukan semata-mata ilmu, bahkan pemimpin juga perlu mentaati perintah Allah SWT. Sekiranya seorang pemimpin melanggar perintah Allah SWT, maka perlu segera bersistighfar seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Adam AS.
Beginilah bagaimana Allah SWT menyusun setiap kisah dan plot di dalam Al-Quran agar kita dapat mengambil iktibar dan pengarajan secara keseluruhan. Al-Quran disusun cantik dengan perincian perjalanan dan kaitan antara surah-surah dan ayat-ayat yang terkandung di dalamnya agar kita tidak jemu untuk membaca dan menghayati isi kandungan Al-Quran.
Semoga taman-taman bunga daripada kisah-kisah Al-Quran ini dapat kita masuki setiap hari agar haruman dan kesegarannya dapat kita hidu sepanjang masa dalam kehidupan kita.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 April 2016