Perceraian Hadiah Terhebat Ummu Habibah

“Andai kata, ketika ini aku memiliki dunia, aku sanggup berikan semuanya.” kata-kata Ummu Habibah saat utusan Raja Najasyi memaklumkan mengenai pinangan Rasulullah SAW terhadap beliau. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menceritakan kisah mengenai isteri Rasulullah SAW, Ummul Mukminin Ummu Habibah.

Beliau, Ramlah binti Abi Sufyan, anak kepada musuh Rasulullah SAW. Beliau telah memilih Islam melebihi keluarganya. Keislaman Ummu Habibah merupakan tamparan hebat buat Abu Sufyan. Kisah ini merupakan kisah anak yang ingin hidup dalam beragama dan mendapat keredhaan Allah SWT. Namun, Abu Sufyan tetap tidak patah semangat dan sentiasa berusaha untuk memujuk anaknya untuk kembali ke agama nenek moyang mereka. Apabila Kafir Quraisy dapati Abu Sufyan gagal mengembalikan anaknya kepada agama nenek moyang mereka, maka pelbagai cacian, hinaan dan penderaan dilakukan ke atas Ummu Habibah agar beliau meninggalkan agama Islam. Namun, demi agama Islam, beliau kekal dalam agama Islam.

Apabila Rasulullah SAW mengizinkan kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah, Ummu Habibah dan anaknya yang masih kecil serta suaminya, Ubaidullah ibn Jahasy, kumpulan terawal yang menyahut seruan hijrah. Menyedari perpindahan kaum Muslimin ke Habsyah, kaum Quraisy telah menghantar utusan kepada Raja Najasyi untuk mengganggu gugat kaum Muslimin di sana, agar dipulangkan mereka kepada keluarganya di Makkah. Utusan kaum Quraisy yang berjumpa dengan Raja Najasyi berkata “Wahai Tuan, mereka ini anuti satu agama yang tidak diketahui oleh tuan dan seluruh manusia yang lain.” Ketika itu, Saidina Jaafar yang mewakili kaum Muslimin diminta oleh Raja Najasyi untuk menceritakan tentang Islam. Beliau menceritakan tentang Nabi Isa dan Maryam dan dibacakan ayat Al-Quran daripada Surah Maryam. Sesudah dibacakan ayat itu, maka menangislah Raja Najasyi lalu berkata “Sesungguhnya apa yang telah diturunkan oleh Nabi kalian, Nabi Muhammad SAW dan apa yang disampaikan oleh Isa dan Maryam kepada kami adalah satu ajaran yang datang daripada sumber yang sama.” Sesudah itu, beliau menyatakan keislamannya dan megisytiharkan bahawa orang Muslim yang berhijrah ke Habsyah adalah orang yang selamat dan aman, selama mana di bawah kerajaannya, walaupun seluruh ketua kaum Nasrani pada ketika itu tidak bersetuju dengan keislamannya.

Pada satu malam, saat Ummu Habibah tidur nyenyak, tiba-tiba beliau bermimpi bahawa suaminya telah dipukul ombal yang kuat hingga suaminya tenggelam timbul di lautan. Cuaca dan keadaan malam yang sangat gelap membuatkan suaminya tidak dapat diselamatkan. Tenggelam di balik gelombang ombak. Beliau terkejut lalu terjaga. Kerana bimbang dan takut, beliau tidak menceritakan mimpi tersebut kepada sesiapa pun. Berita malang seperti itu benar-benar berlaku kepada Ummu Habibah, beliau kehilangan suami. Ummu Habibah dikejutkan dengan berita bahawa suaminya telah murtad, meninggalkan Islam dan menganut agama Nasrani. Suaminya menjadi seorang peminum arak yang tegar dan gemar berhibur. Beliau memberi kata dua kepada Ummu Habibah, sama ada cerai atau sama-sama menganut agama Nasrani. Dengan peristiwa tersebut, benar-benar menguji Ummu Habibah. Beliau merasakan sangat tertekan.

Pelbagai perkara bermain di fikiran Ummu Habibah. Adakah beliau perlu pulang ke Makkah kembali ke pangkuan ayahandanya. Beliau turut berfikir perlukah beliau keluar daripada Islam bagi mengikut suaminya. Namun, beliau kekal dengan pilihan terakhir iaitu kekal berada di Habsyah, dalam keadaan Islam dan bersendirian tanpa saudara mara. Pengorbanan besar dibuat oleh Ummu Habibah demi Islam.

Pengorbanan beliau demi Islam itu mempunyai hikmah yang sangat besar. Kesabaran beliau atas ujian yang menimpa dirinya digantikan oleh Allah SWT satu hadiah yang sangat istimewa. Perceraian beliau menjadi hikmah terbesar buat dirinya. Tidak lama setelah beliau selesai ‘iddah perceraian, ketika waku Dhuha dengan cuaca yang sangat baik, pintu rumah beliau diketuk oleh Abrahah, pembantu kepada Raja Najasyi. Beliau telah memaklumkan kepada Ummu Habibah dengan penuh adab “sesungguhnya Raja Najasyi telah menyampaikan salam kepadamu dan titipkan dengan penuh Rasulullah SAW telah meminta paduka Raja untuk meminang engkau buat dirinya.” Mendengarkan berita itu, Ummu Habibah kemudian berkata “engkau telah sampaikan satu berita yang sangat baik”. Kemudian beliau menanggalkan gelang-gelang di tangan, subang dan anting-anting serta rantai kaki lalu diberikan kepada Abrahah. Beliau kemudian menambah “andai kata ketika ini aku memiliki dunia, aku sanggup memberikan semuanya.” Begitulah penderitaan dan kisah duka Ummu Habibah yang tabah akhirnya diganjari oleh Allah SWT dengan hadiah yang sangat istimewa  buat dirinya, menjadi isteri kepada junjungan mulia, Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 April 2018

\"\"

Scroll to Top