Agama dan Kepimpinan

DARI Abu Sa’id r.a berkata Rasulullah SAW bersabda  yang  bermaksud “Sesungguhnya manusia yang paling dicintai oleh Allah pada hari kiamat dan paling dekat kedudukannya di sisi Allah adalah seorang pemimpin yang adil. Sedangkan orang yang paling dibenci oleh Allah dan paling jauh kedudukannya dari Allah adalah seorang pemimpin yang zalim.” Riwayat Tirmidzi.

Menerusi Rancangan Suluh Budi, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran menjelaskan perihal mengatur kemaslahatan sesuatu organisasi mahupun rakyat merupakan tanggung jawab terbesar seorang pemimpin. Kemakmuran atau kesengsaraan suatu masyarakat bergantung kepada sejauhmana keberkesanan peranan seseorang pemimpin itu menjalankan tugasnya. Demikian sebaliknya, bilamana pemimpin tersebut berlaku zalim dan tidak jujur dalam menjalankan amanahnya maka akan menyebabkan kesan buruk seperti kesengsaraan masyarakat dibawah pemerintahannya.

Oleh sebab itu, berdasarkan hadis diatas, pada hari kiamat kelak, pemimpin yang adil dijanjikan dengan berbagai keutamaan oleh Allah SWT. Sementara pemimpin zalim dan tidak jujur dalam menjalankan amanahnya pula diancam dengan balasan dengan azab yang paling berat di akhirat.

Juga dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW membariskan Pemimpin yang adil, sebagai salah satu daripada tujuh  golongan yang mendapat Naungan (perlindungan) Allah SWT di Hari Kiamat kelak. Riwayat Bukhari.

Siapakah yang dimaksudkan sebagai pemimpin itu. Pemimpin adalah mereka yang diberikan kuasa, samada sebagai kelebihan atau satu amanah untuk membimbing anggota yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Seseorang pemimpin itu berfungsi membantu mencapai sasaran sesuatu organisasi dan berupaya menggerakkan anggota menuju sasaran tersebut.

Justeru dalam usaha membentuk sifat kepemimpinan yang adil dan berwibawa, jiwa dan tindakan seseorang pemimpin itu perlulah mensasarkan keredhaan Allah.  Perkara ini adalah penting diberi perhatian kerana setiap dari kita adalah pemimpin bermula dengan mentadbir diri sendiri dan kemudian mereka dibawah tanggungannya, maka apatah lagi sekiranya dia seorang pemimpin yang memegang amanah khusus seperti kuasa pengurusan, pemerintahan, dan sebagainya.

Disebutkan di dalam Al Quran, kisah Nabi Musa a.s yang berhijrah menuju ke perkampungan Madyan negeri bertempatnya Nabi Syuaib a.s yang sudah tua, baginda Nabi Musa prihatin dengan keupayaan perempuan yang lemah telah menawarkan pertolongan  untuk membantu anak-anak perempuan Nabi Syuaib melakukan kerja-kerja berat dengan ikhlas.

Melihatkan kepada sifat timbang rasa, kekuatan fizikal serta kebaikan budi Nabi Musa itu, anak perempuan Nabi Syua’ib a.s telah memberi cadangan kepada ayahnya sebagaimana disebutkan didalam Al Quran Surah Al Qasas ayat 28 “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: \”Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah\”.  Cadangan itu berdasarkan kepada Nabi Musa a.s itu dilihat sebagai seorang yang Qawwiyyun Amin iaitu bersifat kuat dan amanah. Jelas kemampuan fizikal beserta mental yang kuat, diiringi dengan keprihatinan membantu golongan yang lemah dan memerlukan adalah antara ciri seorang pemimpin yang baik.  

Seterusnya sifat kepimpinan yang baik juga disebutkan dalam kisah Nabi Yusuf ketika baginda mentadbir perbendaharaan harta Mesir. Beliau disebutkan memiliki sifat Hafizun ‘Alim. Hafiz bermakna mampu menjaga dengan baik sesuatu amanah yang dipertanggungjawabkan  manakala alim bererti memiliki ilmu dan pengalaman dalam selok belok pentadbirannya.

Diringkaskan sifat kepimpinan seseorang pemimpin yang cemerlang,  merujuk kepada empat tunjang utama iaitu hikmah, iffah, shajaah dan adil. Hikmah adalah kebijaksanaan atau akal yang baik yang digunakan untuk tujuan-tujuan kebaikan dan bukannya penyelewangan. Iffah pula berkait dengan nafsu yang mampu  dikawal serta sabar daripada melakukan amalan yang buruk dan membawa kepada kehancuran. Seterusnya Shajaah beerti keberanian yang disertai dengan kebijaksanaan dalam membuat sesuatu keputusan serta tindakan yang berkesan. Dan yang keempat adalah sifat adil. Keadilan seseorang pemimpin itu akan terlihat dan dirasai oleh mereka yang dipimpinnya sekiranya dia melaksanakan tiga sifat yang awal tadi. Keempat-empat sifat ini sentiasa relevan dalam kepimpinan yang aman yang perlu dititikberatkan dalam pemilihan pemimpin.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 April 2018

 
\"\"

Scroll to Top