KUALA LUMPUR, 3 Februari (IKIM) – Jenayah rasuah perlu ditangani secara berkesan dengan berpegang kepada agama serta transformasi kerohanian secara menyeluruh.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty berkata pegangan agama dan nilai integriti yang kukuh adalah senjata paling ampuh dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Pelan Antirasuah IKIM (IACP) 2025 – 2028 di sini, hari ini.

“Pelan ini bukan sekadar satu dokumen, tetapi ia merupakan manifestasi komitmen kita yang teguh untuk mewujudkan sebuah organisasi yang bersih, telus dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan,” ujar beliau.
IACP 2025 – 2028 yang menggariskan 68 inisiatif utama ini selaras dengan Seksyen 17A, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang menggariskan langkah-langkah pencegahan rasuah dalam organisasi.
“Empat misi utama pelan ini bagi Meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan IKIM; Mengukuhkan integriti warga IKIM; Membudayakan 7 nilai bersama dalam organisasi; dan Menjadikan IKIM sebagai pusat kecemerlangan dalam menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar dan relevan,” tambah beliau.
Majlis sebelum itu turut menyaksikan bacaan Ikrar Bebas Rasuah oleh warga kerja IKIM yang dipimpin oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Warga kerja IKIM dalam kesempatan itu turut menerima perkongsian pengalaman oleh Tan Sri Dato’ Sri Hj. Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi Dagang NeXchange Berhad dan Ir. Hj. Mohd Prasad Hanif, Setiausaha Agung Pertubuhan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia menerusi Wacana Integriti bertajuk “Pembanterasan Rasuah, Pengukuhan Integriti dan Tatakelola dalam Organisasi : Tanggungjawab Kita Bersama”.

Turut hadir dalam majlis tersebut Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman, Timbalan Pengerusi IKIM dan Datuk Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Fauzi Husin @ Che Mamat, Pengarah SPRM Kuala Lumpur.
Wartawan : Faiz Hj. Othman
Jurugambar : Fathulmungin Mohd. Yusof