DALAM hidup ini terlalu banyak perkara yang meyeronokkan, tanpa kita sedari bahawa ianya sebenarnya boleh merosakkan kita. Tanyalah penagih dadah, tidakkah mereka tahu dadah itu merosakkan, tetapi kerana tarikan sedap dan seronok yang ada pada dadah, mereka abaikan larangan itu sebab pastilah pada awalnya ianya sangat nikmat.
Allah SWT telah berfirman “Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu “ (Surah Al –Baqarah, ayat 216) . Hidup sentiasa menjanjikan sesuatu di luar jangkaan. Yang pasti hidup sentiasa berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran yang bukan sedikit. Cabaran itulah yang adakalanya membuat kita lemah dan tersungkur. Oleh itu, dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang dikeudarakan di IKIMfm pada minggu lalu , Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menekankan bahawa dalam menongkah arus kehidupan yang serba mencabar di dunia ini , betapa pentingnya setiap khalifah di muka bumi mempunyai satu sistem kepercayaan yang utuh dan mantap iaitu kepercayaan kelima . Ia merujuk kepada kepercayaan yang tinggi kepada takdir (qada dan qadar yang ditentukan oleh Allah) SWT) . Islam sememangnya menitikberatkan sifat sabar. Dalam konteks menghadapi ujian atau musibah atau malapetaka, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jika dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibah itu, atau jika hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah SWT. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.
Menurut Muhammad , kepercayaan kelima merangkumi empat elemen . Pertama, seseorang itu harus yakin dan percaya bahawa jodoh dan pertemuan itu adalah di tangan Allah SWT. Soal jodoh dan pertemuan bukan sesuatu yang mudah untuk diungkapkan kerana kadang-kadang ia terjadi dengan sendiri tanpa disedari. Janganlah sesekali kita sesali dengan jodoh yang dikurniakan kerana ia merupakan takdir yang ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Esa. . Seringkali kita mendengar ungkapan , jodoh, pertemuan , ajal maut di tangan Tuhan. Ia cukup baik untuk direnungkan kerana ia mampu mendidik manusia dengan sifat Qana’ ah (bersyukur dengan apa yang ada) tetapi wujud pula manusia yang terlalu cepat menyerah kepada takdir , tanpa sebarang usaha. Seterusnya, Allah tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan hambanya. Sebagaimana firma Allah SWT yang bermaksud ”Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al Baqarah , ayat 286). Ayat tersebut bertujuan mengingatkan kita bahawa Allah tahu kita ada kekuatan untuk menghadapi ujian ini. Kekuatan yang tersembunyi dalam diri kita, tinggal kita sahaja untuk mencari kekuatan itu. Namun terkadang kita jarang kaitkan ayat berkenaan dengan satu anugerah, rezeki, jawatan atau situasi yang kita harapkan dapat kita miliki. Contohnya, sepasang suami isteri yang mengharapkan dikurniakan cahaya mata, namun sehingga kini, masih tidak mendapat seperti yang diharapkan. Mengaitkan dengan ayat tersebut bahawa Allah tidak akan membebankan hambaNya melebihi kemampuan seseorang itu, maka ia memberitahu bahawa kemungkinan, kita belum bersedia untuk menjadi ibubapa yang baik dan sekiranya Allah penuhi permintaan kita mengikut kehendak kita, belum tentu kita dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ibubapa dengan sebaiknya. Allah takkan bebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu, bukan?
Ketiga, apa sahaja yang dilalui oleh manusia adalah ujian yang diturunkan oleh -NYA. Allah menguji seseorang bukan kerana DIA benci kepada kita tetapi percayalah Allah menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hamba- Nya, adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujian- Nya.Oleh itu, perbaikilah diri kita agar sentiasa menjadi umat yang cukup tenang dalam menerima takdir dan ujian dari Illahi. Sentiasa sematkan dalam diri kita bahawa yang kita minta belum tentu yang terbaik buat kita.. Yang terbaik buat kita tak semestinya Allah suka.. Belajarlah redha apa yang kita ada.. Itulah yang terbaik buat kita.. Walaupun itu bukan yang kita suka. Akhir sekali, dalam memperkuatkan lagi kepercayaan lima dalam diri , berpegang teguhlah kepada Allah SWT apabila dilimpahi kesenangan . Elakkan diri daripada memiliki sifat riak dan takabur kerana sifat sedemikian bukannya sesuatu yang patut kita biarkan bermaharajalela dijiwa ,sebaik-baiknyaya berusaha muhasabah diri kerana sifat tersebut punca kepada segala kejahatan . Apabila kita ditimpa kesusahan pula, yakinlah bahawa selagi mana kita meminta takdir yang baik daripada –Nya , nescaya akan dberikan pertolongan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 September 2016