Inspirasi

INSPIRASI bersama Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd, Datuk (Dr) Hussamuddin Haji Yaacob.

Fokus, minat dan ikhlas adalah antara resepi kejayaan bagi tokoh usahawan terkenal yang juga pengasas syarikat penerbitan terkemuka

Menerusi rancangan Inspirasi yang disiarkan menerusi slot Warna Pagi di radio IKIMfm, Datuk  Hussamuddin berkata kata-kata keramat yang dinukilkan oleh ayah beliau iaitu “Pekerjaan atau perniagaan yang paling baik adalah perniagaan untuk memandaikan orang” menjadi pencetus semangat bagi beliau menceburi bidang perniagaan yang melibatkan buku. Kata-kata itulah yang dipegang dan dijadikan azimat dalam dia memilih dan meneruskan perniagaan dalam bidang tersebut.

Berasal dari Kota Bharu Kelantan, merupakan anak ke tujuh dari lapan adik beradik. Seawal usia kanak-kanak lagi, Datuk Hussamuddin telah didedahkan dengan dunia perniagaan dan pembacaan buku oleh ayah beliau yang merupakan seorang ustaz terkenal di Kelantan. Ayah beliau yang dikenali sebagai Mualim Haji Yaakub juga merupakan salah seorang pengasas sekolah Lilbanat Naim di Kelantan.

Beliau didedahkan dengan dunia perniagaan oleh ayah beliau sendiri. Selain mengajar di sekolah agama, ayahnya juga merupakan peniaga kecil-kecilan yang menjual buku, kitab dan songkok di sebuah kedai kecil di kampung mereka. Bahkan menurutnya ketika zaman kanak-kanak beliau bersama adik beradik yang lain, turut berniaga ‘air batu blok’ pada bulan Ramadan.

Oleh kerana tidak ramai orang yang memiliki peti ais di kampungnya pada zaman itu, justeru penjualan ‘air batu blok’ atau ais telah mendapat sambutan di kalangan orang kampungnya, apatah lagi dijual pada bulan Ramadan. Pendedahan tentang proses jual beli itu secara tidak langsung telah mendidik dan mendedahkan beliau dalam dunia perniagaan.

Menyingkap zaman kanak-kanak dan bagaimana beliau bermula dalam bidang perniagaan, Datuk Hussamuddin berkata Ayahnya juga telah mendidik beliau dan adik beradik lain untuk berniaga di kedai mereka dan pada masa yang sama mereka amat digalakkan untuk membaca buku-buku yang ada di kedai berkenaan.

Dari segi pendidikan pula, menurut Datuk Hussamuddin, beliau tidaklah sepandai adik beradiknya yang lain, tetapi beliau mempunyai kelebihan yang tersendiri. Kelebihan itu disedari oleh ibunya, justeru beliau dilatih dari kecil untuk menjadi peniaga.

Jika adik beradik yang lain diajarkan tentang teknik untuk menjual, ibunya pula lebih gemar menyuruhnya untuk membeli. Beliau mengambil tanggungjawab untuk menjadi pembeli di pasar atau mana-mana kedai. Pengalaman ‘membeli’ itu menjadikan beliau sangat arif dalam urusan tawar menawar dan pelbagai pengalaman lain dalam urusan seni jual beli.

Hakikatnya minat membaca dan pengalaman menjaga kedai dan ke pasar membentuk peribadi usahawan ini yang menyebabkan bukan sahaja beliau mempunyai pengetahuan yang luas tetapi juga sifat peramah. Ketika menjaga kedai ayahnya, dia banyak berinteraksi dengan pelanggan dengan berkongsi buku yang telah dibacanya untuk menarik pelanggan membeli buku berkenaan

Jiwa usahawan yang mengalir dalam dirinya adalah dari ayah beliau yang mempunyai prinsip hidup yang cukup jelas. Bahkan menurut beliau sifat sederhana dalam diri ayahnya itu telah sedikit sebanyak membina sudut pandang beliau terhadap kehidupan.

Bagi Datuk Hussamuddin, ayahnya merupakan idola beliau dan sentiasa berpegang teguh kepada visi hidup iaitu “jadilah seorang penghuni syurga di akhirat nanti, dan jadilah orang yang Berjaya di dunia ini.

Bahkan beliau turut menyatakan, tidak akan jalan pintas untuk mencapai kejayaan melainkan seseorang itu mesti mempunyai pengalaman dan pembelajaran yang betul dalam jatuh bangun bidang yang mereka ceburi.

Seseorang peniaga juga harus bermula dari perniagaan secara kecil-kecilan untuk mengutip pengalaman dalam bidang tersebut dan belajar dari semasa ke semasa untuk melebarkan perniagaan masing-masing.

Asas perniagaan yang diterapkan oleh ayah beliau bukan sahaja menjadikannya berjaya sebagai seorang usahawan, tetapi menjadikan beliau seorang manusiawi yang bukan hanya mencari kejayaan untuk diri sendiri tetapi dalam masa yang sama membantu ummah untuk mencapai kehidupan dan kerier yang lebih baik.

Scroll to Top