Peranan Suami Dalam Pembinaan Keluarga Bahagia

RUMAHTANGGA yang aman dan harmoni semestinya mampu dicapai melalui kerjasama dan tanggungjawab yang baik sesama mereka, seperti berkasih sayang, tolak ansur dan wujudnya persefahaman.Suami dan isteri saling melengkapi kehidupan antara satu sama lain. Rasulullah SAW menyuruh para suami supaya berbuat baik kepada isteri dan bersederhana dalam mendidik para isteri.Rasulullah SAW pernah bersabda “Aku berwasiat kepada kamu agar menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ….”.

Pada minggu lalu ketika menyambung kembali perbincangan  berkenaan ‘Berikan Semangat Kepada Isterimu’, Ustaz Muhammmad Abdullah Al-Amin  dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di radio IKIMfm hari Isnin jam 10.15 pagi berkata para suami haruslah sentiasa  mensyukuri  pengorbanan serta  jerit – payah yang ditempuhi  oleh isteri.  Suami perlu  bertindak secara proaktif, memberikan semangat dan inspirasi dalam semua situasi bagi mengekalkan kebahagiaan rumah tangga yang dibina. Semangat  tersebut  terbahagi kepada dua iaitu dalaman dan luaran.  Dalam  hal ini, suami disaran menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dengan memenuhi semangat yang didambakan oleh para isteri. Zuriat atau anak  merupakan anugerah yang tidak ternilai diberikan oleh Allah SWT.

Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya. Justeru, sebagai suami perlu menujukkan semangat yang tinggi di hadapan isteri  dengan memelihara zuriat yang dikurniakan. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya : “Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”. Oleh itu, jika kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang berkaitan dengan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah.

Peranan  seorang suami dalam mencetuskan semangat terhadap isteri tidak terhenti setakat  itu  sahaja. Suami juga perlu mewujudkan  suasana yang positif, cukup mendamaikan dalam sesebuah institusi keluarga .  Tidak dinafikan, memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Oleh yang demikian , para suami  dituntut untuk   mengajak anak-anak mereka menghayati sejenak tentang erti  falsafah kehidupan  yakni dalam soal-soal yang melibatkan pemantapan  akhlak dan sahsiah diri. Misalnya diajar anak-anak  tentang kepentingan menjaga kebersihan dan menghormati orang lain.   

Sebagai ketua keluarga, suami  juga  sewajarnya memastikan anak-anak mampu menikmati gaya hidup yang lebih baik . Perlu bertindak sebagai   ‘role model’  untuk anak-anak dan isteri  dengan menerapkan adab dan akhlak yang baik bersandarkan kefahaman serta prinsip-prinsip Islam . Korbanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya.Selain itu,   dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba di sisi Allah SWT. Ini bersesuaian dengan firman-Nya  yang bermaksud: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam ”. (Surah Al-An’am , ayat 162).

Ilmu adalah penyuluh hidup. Ia dianggap sebagai pelengkap dalam kehidupan seseorang Muslim.Tanpa ilmu pengetahuan, hidup di dunia ini seperti tiada arah tujuan dan matlamat yang pasti.  Hakikatnya, setiap isteri yang disifatkan sebagai  permata hati suami dahagakan ilmu  dan nasihat yang berguna. Justeru,para suami mestilah meluangkan masa dengan  memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang baik terhadap isteri mereka dengan didikan agama dan pengajaran yang baik dan bukan menyeksa mereka.

Kesimpulannya bagi menjamin keutuhan dan   keluarga yang bahagia kerjasama dan persefahaman amat diperlukan  Sesuatu tanggungjawab tidak boleh diserahkan secara mutlak kepada isteri sahaja  dalam aspek pendidikan dan pembinaan  jati diri anak-anak serta  dalam soal memperolehi  ilmu .

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 April 2016
\"2016-04-04\"
Scroll to Top