KUALA LUMPUR, 12 Sept (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menafikan penglibatan mana-mana pihaknya dengan sebuah akaun Facebook palsu yang menggunakan nama penyampai radio IKIMfm, Siti Rohani Surani, yang masih aktif memuat naik pelbagai hantaran berbentuk video dan gambar pihak lain dengan kapsyen berunsur fitnah.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menjejaskan maruah individu dan organisasi tertentu, malah turut menjejaskan kredibiliti radio IKIMfm.

“Lebih membimbangkan, ada pihak pengiklan radio yang turut menjadi mangsa dalam hantaran akaun palsu berkenaan,” kata beliau.
Beliau menjelaskan bahawa penyampai radio berkenaan hanya mempunyai satu akaun rasmi di platform tersebut iaitu ‘Siti Rohani Surani – Rasmi’. Segala kandungan selain daripada akaun itu tidak mempunyai kaitan dengan IKIMfm mahupun penyampainya.
IKIM memandang serius isu akaun palsu yang wujud sejak tahun 2013 itu kerana berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Untuk rekod, pihak IKIM telah membuat laporan polis, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta kepada Meta Platforms, Inc. (Meta) bagi tindakan lanjut. Kenyataan penafian juga telah dikeluarkan beberapa kali bagi menegaskan bahawa akaun berkenaan tidak mewakili IKIMfm.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu ini dan digalakkan membuat laporan polis sekiranya terkesan agar pihak tidak bertanggungjawab dapat diambil tindakan,” tegas beliau.
IKIM dalam masa sama memberi jaminan akan terus memantau isu ini dan mengambil langkah sewajarnya demi menjaga nama baik organisasi serta semua pihak yang terlibat.