HADIS Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud: “Perkara pertama yang akan diadili oleh Allah di Padang Mahsyar adalah permasalahan yang berkaitan dengan darah, bunuh-membunuh di kalangan umat manusia.” Manakala di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib menyebut Rasulullah SAW bersabda: “Aku orang yang pertama yang akan bersimpuh di hadapan Allah pada Hari Akhirat nanti untuk menuntut siapa yang membunuh sahabat-sahabatku di kalangan musuh-musuhku. Oleh itu jangan dibiarkan di kalangan kita ini berbunuhan di antara satu sama lain terutamanya sesama muslim kerana mereka akan dihumban ke dalam neraka. Apabila sahabat bertanya kepada Rasulullah apabila berlaku pertumpahan darah di antara sesama muslim, kenapa orang yang dibunuh juga ditempatkan di dalam neraka, Baginda menjawab bahawa dia juga berniat untuk membunuh saudaranya itu tetapi tidak sempat berbuat demikian lalu terbunuh.
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW pernah menyebut : “Perkara pertama yang di adili pada Hari Akhirat nanti adalah soal pembunuhan, lalu dihadapkan semua yang terbunuh di dalam peperangan di jalan Allah. Diperintahkan semua yang terbunuh itu untuk menghadapkan kepalanya sedangkan urat nadinya masih mengalirkan darah dan mereka berkata: “Wahai tuhanku tanyalah kepada orang yang telah membunuh itu mengapa dia membunuhku”. Dijawab orang yang membunuhnya: “Ya Allah, aku membunuhnya demi mempertahankan diriku.” Lalu Allah berfirman kepadanya: “Celakalah kamu wahai pembunuh!” Kemudian semua pembunuh dan kezaliman dibalas pada waktu itu juga mengikut penganiayaan yang telah dilakukannya dahulu.
Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, mereka yang dikatakan pembunuh juga termasuk mereka yang membunuh diri sendiri sama ada mengambil dadah, meminum arak atau melakukan perkara-perkara yang menyebabkan akhirnya jiwa mereka mati. Abdullah bin Abbas menceritakan bahawa Rasullullah SAW bersabda: “Orang yang terbunuh datang pada Hari Kiamat dalam keadaan salah satu tangannya memegang kepalanya. Sedangkan tangannya yang lain pula memanggil orang yang membunuhnya, keluar darah dari sekujur tubuhnya sehingga dia bertemu dengan pembunuhnya. Lalu dia berkata, “Wahai Allah, orang inilah yang membunuhku ketika di dunia dahulu.” Allah berfirman kepada si pembunuh itu: “Celaka kamu yang membunuh!” Kemudian dia dicampak ke dalam api neraka. Rasulullah SAW juga berpesan, jangan sesekali kita terlibat dengan orang yang membunuh orang-orang mukmin, kerana sekiranya ia dilakukan dengan sengaja, dosanya seperti membunuh seluruh umat manusia di atas dunia ini. Namun sesiapa yang berusaha untuk menghidupkan orang mukmin, misalnya contohnya doktor yang merawat pesakit yang berusaha mengubati orang yang di dalam kesukaran, pahalanya bagaikan dia menghidupkan seluruh manusia di dunia.
Harus diingat, kepada mereka yang bertanggungjawab mengedar dadah, arak, malah pemilik bengkel yang melakukan pengubahsuaian kepada kenderaan sekalipun, sekiranya berlakunya kematian yang disebabkan oleh perbuatan mereka, mereka akan dipertanggungjawabkan di Padang Mahsyar kelak.
Perkara kedua yang akan diadili Allah pada Hari Akhirat nanti ialah amalan solat. Rasulullah SAW menyebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Yahya bin Said : “Pertama sekali dilihat adalah solat. Jika solatnya diterima maka amalan lain juga akan mula dihitung disisi Allah. Namun jika solatnya ditolak, maka amalan lain juga ditolak”. Allah memerintahkan agar didirikan sembahyang dan bukannya menunaikan sembahyang kerana ramai yang menunaikan sembahyang di dalam keadaan cuai sama ada menangguh-nangguhkannya sehingga ke penghujung waktu atau khayal di dalam sembahyangnya. Rasulullah SAW juga berpesan, mana-mana orang yang sembahyangnya yang tidak menyempurnakan rukuknya ataupun sujudnya main-main, hilang khusyuknya, maka sesudah solat perbanyakkan tasbih dan zikir agar sempurna solat kamu.
Di dalam surah Maryam, ayat 59: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)”. Apabila solat tidak dibicarakan kerana ditolak, amalan lain turut ditolak, penyesalan mula datang.
Di Padang Mahsyar kelak, antara perkara besar yang akan diadili ialah apabila kita tidak membantu orang yang dizalimi dan ia merupakan suatu dosa disisi Allah. Di dalam riwayat Said al-Qudri, dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Di antara pertanyaan Allah kepada manusia di akhirat nanti, apakah yang mendatangkan kesusahan kepadamu apabila melihat perkara yang mungkar untuk kamu mencegah kemungkaran itu, tiba-tiba kamu biarkan ia berlaku?” Baginda juga berpesan, mana-mana orang mukmin yang nampak kemungkaran yang berlaku, hendaklah kamu mencegahnya dengan kuasa (tangan) kamu. Kalau kamu tiada kekuatan untuk mencegahnya, lalu kamu perlu cegah kemungkaran itu dengan lidah kamu. Jika tidak mampu juga, cegahlah dengan hati kamu. Itulah yang selemah-lemah iman yang ada di dalam hidup manusia. Ketika di soal Allah tentang alasan hambanya tentang mencegah kemungkaran, dijawab: “Wahai Tuhanku aku lakukan itu kerana mengharapkan kamu dan memisahkan diri aku daripada manusia, ya Allah”. Rasulullah juga mengingatkan agar jangan sesekali kita mendiamkan diri ketika ayat-ayat Allah dipermain-mainkan kerana akan di tanya di akhirat nanti apakah yang kita lakukan untuk mencegah kemungkaran itu.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 September 2016