Sehati Sejiwa

SEHATI sejiwa membawa maksud budaya seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu dan bekerjasama serta bersatu dalam apa juga kejayaan dan rintangan yang berlaku di negara tercinta ini. Walaupun berbeza adat resam, kepercayaan dan budaya, namun bukan menjadi faktor untuk manusia berselisihan. Masyarakat yang berjiwa merdeka meletakkan kepentingan umum lebih utama daripada kepentingan sendiri. Walaupun berbeza budaya, tetapi masih mampu mencari titik pertemuan demi perpaduan dan kelangsungan bangsa Malaysia. Oleh itu, selaras dengan seruan perpaduan tersebut, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Rabu yang lalu membicarakan topik ‘Sehati Sejiwa’.

Di dalam Islam, hidup bersatu-padu mempunyai dua tuntutan iaitu yang pertamanya adalah tuntutan fitrah. Naluri manusia adalah ingin membawa kepada kesatuan dan tiada manusia yang suka berpecah belah serta jauh sekali untuk hidup dalam keadaan bersengketa. ALLAH SWT mewujudkan persekitaran hidup manusia secara muafakat melalui konsep hidup yang penuh kefahaman, ketenangan dan kebahagiaan. Apa jua rintangan dan kegembiraan yang dihadapi secara bersama-sama, manusia akan lebih tabah serta tenang menghadapinya sesuai dengan fitrah mereka. Indahnya kehadiran Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah manusia yang turut memberi dorongan untuk bersatu-padu dalam hati disamping kaedah dan caranya juga turut disediakan oleh ALLAH SWT.

Tuntutan yang kedua adalah merupakan perintah ALLAH SWT dimana DIA menyeru kepada umat manusia supaya bersatu-padu seperti yang diceritakan dalam surah Ali ‘Imran ayat 103 yang bermaksud “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara”. ALLAH SWT yang merupakan pemerintah alam ini memberi ajaran kepada umat manusia supaya berpegang kepada sistem fardhu ain dan fardhu kifayah.

Pendekatan melalui fardhu ain dapat membentuk manusia untuk melaksanakannya secara individu dan bersendirian seperti ibadah berpuasa. Namun pendekatan fardhu kifayah membentuk manusia melaksanakannya secara berjemaah yang memerlukan semangat hidup bersatu-padu dan bekerjasama antara satu sama lain. Sebagai contoh, hidup bersatu-padu yang berlandaskan fardhu kifayah tersebut adalah seperti pengurusan dan pembangunkan ekonomi negara Islam yang memerlukan tenaga pelaksana yang ramai. Oleh itu, asas kepada kejayaan sebuah negara dan kebahagiaan bangsa juga terbentuk dari perpaduan yang kukuh. Persoalan dan cabaran yang perlu ditempuh adalah Bagaimana hendak bersatu? Kenapa tidak mengetahui erti bersatu? Kenapa tidak benar-benar bersatu?

Jawapan kepada sehati sejiwa adalah bermula dari satu hati dan satu jiwa yang mempunyai rasa yang sama sejurus akan mengundang kerjasama. Perkara ini perlu dirasai oleh setiap pemimpin, rakyat, keluarga mahupun suami isteri untuk mendatangkan rasa yang sama bagi membawa sebuah etika dan peradaban mulia dalam jalinan permuafakatan. Dari sudut perspektif agama Islam, sehati sejiwa amat diperlukan seiring dengan perpaduan dalam kalangan umat Islam bagi memastikan kehidupan yang harmoni dijalinkan antara kaum dan bangsa yang lain. Teras utama dalam agama Islam yang merupakan cara hidup untuk mewujudkan kesatuan umat adalah menekankan kepada satu akidah iaitu iman yang kukuh berkeyakinan kepada ALLAH SWT. Hati yang beriman ini adalah kenal kepada ALLAH SWT dengan berasa takut dan meninggalkan larangan-Nya serta melaksanakan segala perintah-Nya. 

Keyakinan terhadap ALLAH SWT turut dizahirkan melalui keyakinan di akhirat dimana apa sahaja amalan yang dilaksanakan didunia ini akan diberi pembalasan syurga dan neraka. Kehadiran iman kepada ALLAH SWT akan melentur dan melembutkan hati manusia supaya menjadi umat yang teguh bersatu-padu dimana  mereka menjadikan ALLAH SWT sebagai rujukan dan pautan kepada sumber kekuatan jiwa. Seruan ALLAH SWT terhadap perkara tersebut dijelaskan dalam Al-Quran melalui surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. Melalui maksud surah ini juga dapat memberi kesimpulan bahawa manusia yang membina iman dan cintanya kepada ALLAH SWT, maka merekalah yang dapat bersatu hati dan jiwa.

Hati dan jiwa manusia perlu disandarkan kepada ALLAH SWT untuk dijadikan sumber rujukan dalam membina ketamadunan yang berasaskan kepada perpaduan. Sifat kasih sayang,  saling memahami dan hormat-menghormati diantara sesama manusia memberi kesimpulan yang  jelas bahawa mereka yang paling akrab dengan ALLAH, maka merekalah yang paling intim hubunganya sesama manusia. Rasulullah SAW juga memberi seruan khusus kepada umatnya bahawa “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh yang demikian, seruan kepada sehati dan sejiwa tersebut perlu disemai melalui keimanan diri terhadap ALLAH SWT dan sentiasa kekal beriman kepada Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Ogos 2016
Scroll to Top