PENETAPAN TARIKH SYAWAL, AKUR DENGAN KEPUTUSAN ULIL AMRI – MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

\"\"

KUALA LUMPUR, 18 April 2023 (IKIM) : Soal tentang hari raya dan permulaan puasa ini adalah tentang soal berkait dengan hukum syarak dimana segala tindakan kita dan usaha yang kita lakukan dalam memulakan ibadah berkenaan adalah diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT dan ia adalah satu kewajiban.

Namun, tular di media sosial tentang tentang bilakah kita akan menyambut 1 Syawal pada tahun ini. Ini adalah ekoran Syawal tahun lepas yang telah jatuh sehari sebelum tarikh kalendar yang biasa kita gunakan. 

Ahli falak menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah untuk mengesahkan penampakan anak bulan.

Menurut SS Datuk Prof. Madya Dr.Luqman Haji Abdullah, “pada tahun lepas, kebiasaan yang kita amalkan kita pakai sistem berasaskan imkanur rukyah, kita gabungkan sistem melihat anak bulan dan sistem kiraan. Ini sebenarnya berbalik kpd hadis Rasulullah, daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda; Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu,maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari)(Riwayat Imam Muslim).”

“Dalam melaksanakan tanggungjawab rukyah, maka para ulama dan ulil amri adakan satu usaha tertentu bagi memastikan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh  umat Islam berlandaskan hukum syarak.”

Dr. Luqman Haji Abdullah berkata, anak bulan tersebut hendaklah dihitung kedudukannya ketika matahari terbenam dan hendaklah berada di atas ufuk.

“Ada dua syarat iaitu jarak lengkung yang mana jarak antara matahari dan bulan hendaklah tidak kurang 6.4 darjah manakala tinggi bulan pula tidak kurang dari tiga darjah.

“Jadi sekiranya anak bulan itu wujud, tetapi kurang dari syarat ini maka dalam konteks kita di Malaysia, kita jangka anak bulan itu tidak boleh dilihat. Tetapi kalau berada di atas parameter disebut, maka dijangka boleh dilihat.

“Pada tahun lepas iaitu tahun 2022, kriteria 6.4 darjah itu tidak dicapai di Labuan, tapi ia telah hampir mencapai 5 darjah lebih dan berkemungkinan penampakan bulan boleh berlaku walaupun tidak tercapai kriteria darjah tersebut, namun keadaan langit yang cerah, awan yang tidak ada atau sebarang halangan penampakan yang menyebabkan anak bulan boleh berlaku,  ia telah disahkan bahwa itu anak bulan dan diisytiharkan raja-raja pada tahun lepas. Walaupun kita akui, kriteria 6.4 melengkung itu tidak tercapai namun 5 darjah itu telah memungkinkan anak bulan kelihatan walaupun tidak mencapai 6.4 tersebut kerana terlalu hampir dengan kiraan. Adapun pada tahun ini, data yang ada pada ini adalah 2 darjah sahaja iaitu tarikh yang dinantikan adalah pada 20 April 2023. Antara 2 darjah dgn 6.4 darjah kriterianya agak jauh, namun tanggungjawab sebagai Muslim harus mencerap dan kita juga perlu beramal. Itu sebab kita gabungkan imkanur rukyah.”

“Selepas itu kita akan bawa data tersebut sebagai panduan bagi kita mencerap anak bulan pada 29 Ramadan. Berdasarkan itu, kita ada 29 lokasi untuk cerap anak bulan,” katanya dalam perkongsian Topik Jumaat “Penetapan Tarikh Syawal” Radio IKIM pada Jumaat baru-baru ini.

Dalam pada itu katanya, laporan cerapan akan diserahkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku badan paling berautoriti untuk mengumpul ke semua laporan yang dibantu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk menentukan keputusannya.

Dr. Luqman Haji Abdullah turut meminta umat Islam bersabar menantikan keputusan Hari Raya Aidilfitri kerana 20 April ini akan dilakukan aktiviti mencerap dan keputusan akan diisytiharkan sama ada hari Jumaat atau Sabtu,  Syawal pada tahun ini. Ini adalah gambaran asas kepada masyarakat Islam di negara usaha apa yg kita lakukan dan prosedur untuk jalankan tanggungjawab pemerintah bagi memudahkan dalam fasiliti umat islam lakukan ibadah dengan sempurna pada tahun ini. Akur sahaja apa keputusan yang diisytiharkan pihak berautoriti penyimpan mohor raja-raja dalam menentukan keputusan Syawal.  

Beliau juga turut berkata, “ mesti akan ada keluarga yang sudah mempunyai perancangan raya, namun harus berbalik pada sistem untuk kita akur dengan memahami penetapan tarikh Syawal.”

Dr. Luqman Haji Abdullah menyeru masyarakat masa kini perlu sedar dan patuh pada ulil amri bersama autoriti yang ada ini untuk mengurus. 

“Jika semua pihak boleh patuh, maka itu lah perkara yang sebaiknya demi memastikan kelangsungan keamanan di negara keluruhan kita beribadat tanpa sebarang gangguan. Ini sudah menghabiskan masa kita memikirkan perkara sebegini. Lebihkan fokus beribadat utk 10 malam terakhir. Tidak dinafikan, umum ingin tahu dan mempunyai sifat keinginan keterujaan dan akhirnya timbul spekulasi dan analisis yg tersendiri.”

Tambahnya lagi, hikmah dalam menentukan penetapan tarikh Syawal, adalah mengagungkan kebesaran alam dan ciptaanya seperti bulan dan matahari.

 “Data-data saintifik astronomi yang semua ini ditunjuk lebih dekat dengan Allah SWT, juga ditekankan untuk menghadapi hari raya, umat islam lebih terdedah dengan ilmu serta hikmah dalam sesuatu isu ini.”

“Nasihat saya kepada seluruh umat Islam di Malaysia, dalam kita nak menunggu bila tarikh 1 Syawal akan tiba, maka kita tunggu dengan sabar pengisytiharaan penyimpan mohor besar Raja-Raja pada 20 April nanti.

“Selepas itu, laporan dikeluarkan dan disampaikan kepada penyimpan mohor besar Raja-Raja. Umat Islam boleh bersabar dan terus menikmati keindahan dan hari-hari terakhir bulan Ramadan dan menggunakan peluang ini untuk terus beribadah kepada Allah SWT di samping membuat persiapan 1 Syawal nanti,” katanya.

Scroll to Top